TANAH MERAH – Tujuh fosil yang didakwa merupakan tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia jutaan tahun dijumpai oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bukit Panau.

Penyelidik daripada Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK itu dilaporkan menemui kesan tapak kaki dipercayai spesies Sauropod dianggarkan berusia 66 juta hingga 160 juta tahun.

Ekplorasi berkenaan diketuai oleh Pensyarah FSB UMK, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Profesor Surono Martosuwito serta disertai Prof Udi Hartono serta Mohd Syakir Sulaiman.

Jelas Arham, aktiviti dan penyelidikan tentang kewujudan dinosaur di Kelantan bermula Mei 2017 sebelum pihaknya menemui fosil tapak dan laluan trek dinosaur daripada subkumpulan Sauropod.

Walau bagaimanapun, tarikah penemuan di Bukit Panau tersebut tidak dimaklumkan.

“Kami menemui tujuh tapak kaki fosil berukuran purata 72 sentimeter panjang dan purata lebar 66 sentimeter yang tercetak di atas batu pasir kuarsa daripada formasi Panau seluas 60 meter persegi.

Tambah Arham, penemuan ini membuktikan bahawa suatu masa dulu, dinosaur pernah hidup di lokasi yang kini dikenali sebagai Tanah Merah, Kelantan.

Difahamkan bahawa pasukannya mengenalpasti tapak kaki dinosaur Sauropod itu adalah daripada jenis reptilia berkaki empat dalam kategori herbivor yang memakan tumbuhan.

Berdasarkan tapak kaki, haiwan ini dijangka memiliki tubuh besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang hingga 22 meter dan berat sekitar 30 hingga 40 tan.

“Spesies dinosaur ini dikenali sebagai haiwan terbesar yang hidup di muka bumi ini”, katanya yang turut menambah aktiviti penyelidikan dan pencarian dinosaur di kawasan ini bukan perkara baru.

Ini kerana, sejak tahun 2016, pihaknya sudah menjalankan beberapa kajian bersama ahli geologi daripada dalam dan luar negara.

Youtube | Berita TV9

Lanjutan daripada penemuan itu, pihaknya menerbitkan jurnal ilmiah ‘The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan’ di Conference on Tropical Resources and Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka banyak ahli geologi berdasarkan bentuk muka bumi yang dikaitkan dengan kawasan Selatan Thailand yang mengandungi fosil haiwan prasejarah itu.

“Malah, pihak penyelidik menghabiskan lebih 10,000 jam untuk menyiasat dan menjejaki dinosaur di negeri ini”, jelasnya. Mengikut geologi kawasan itu, dinosaur ini hidup di persekitaran daratan – berdekatan sungai berliku.

“Namun pihak kami masih perlukan kajian mendalam secara terperinci kerana data yang diperlukan belum mencukupi”, tambahnya.

Beliau juga berharap agar penemuan itu mendapat maklum balas positif semua pihak bagi meneruskan kajian.

Sebelum ini, pasukan penyelidik sama pernah membuat kajian menjejak fosil dinosaur di Taman Negara Kuala Koh dan sekitar hutan di Gua Musang bagi membuktikan kewujudan dinosaur di Kelantan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular