CHINA- Sehingga kini angka jumlah kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan sudah mencapai lebih daripada 21 juta kes di seluruh dunia. Ekoran hal ini banyak negara yang mula berusaha untuk menghasilkan vaksin bagi merawat virus yang membunuh ini. Baru-baru ini muncul di internet mengenai vaksin yang dikatakan boleh merawat COVID-19 dan kini telah berada di pasaran China.

Orang ramai mula mempromosikan vaksin ini dan percaya dengan keberkesanannya. Vaksin palsu tersebut kini dijual pada harga 498 Yuan atau sekitar RM 300 untuk satu dos. Tidak hanya itu, kotak vaksin yang berwarma oren tersebut juga tidak menunjukkan tanda-tanda ia adalah palsu malah turut mempunyai nama syarikat pengeluar dan kod bar yang boleh diperiksa menyebabkan ramai yang percaya ia adalah vaksin sebenar.

Syarikat yang mengeluarkan vaksin tersebut malah turut menjawab pertanyaan media dengan mengatakan bahawa vaksin tersebut belum dilancarkan secara rasmi.

Terdapat dua jenis vaksin palsu yang dikesan di China dan salah satunya ialah “Kierlaifu Novel Coronavirus Inactivated Vaccine (Vero Cell)”. Nombor kelulusan vaksin palsu tersebut diletakkan pada bahagian bawah kotak tersebut tetapi masih ‘pending‘ dan terdapat juga kod bar di situ.

Sebilangan netizen mengatakan bahawa dengan mengimbas kod bar tersebut dengan menggunakan aplikasi Alipay, ia memberitahu bahawa vaksin tersebut dikeluarkan oleh syarikat Beijing Kexing Zhongwei Biotechnology Co. Ltd.

Sebilangan netizen turut mempromosikan vaksin tersebut di aplikasi WeChat dengan mengatakan, “Jika sesiapa yang mahukan vaksin tersebut boleh menghubungi untuk dieksport. Vaksin tersebut adalah terhad dan orang ramai perlu menunggu lama untuk mendapatkannya. Tambahan lagi, vaksin tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada 2 September nanti.”

Vaksin palsu kedua yang dipromosikan di WeChat ialah “New Coronavirus Inactivated Vaccine (Vero Cell)”. Kotak vaksin tersebut berwarna hitam putih serta memiliki garis-garis biru dan hijau pada bahagian kanan kotak. Syarikat yang mengeluarkan kotak tersebut pula ialah Wuhan Institute of Biological Products Co., Ltd.

Seorang wartawan dari Lu Media kemudian telah menghubungi kedua-dua syarikat pengeluar vaksin tersebut untuk mendapatkan kepastian. Jawapan yang diberikan mereka adalah sama iaitu vaksin tersebut masih belum didaftarkan dan harganya juga belum diumumkan. Adalah mustahil untuk menjualnya kepada umum.

Pada 13 Ogos lalu, laman web rasmi Wuhan Institute of Biological Products Co. Ltd. mengumumkan bahawa vaksin yang mereka bangunkan kini baru berada pada fasa ketiga dan belum dilancarkan secara rasmi. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan vaksin palsu yang berada di pasaran.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan Lu Media, seorang petugas di Syarikat Bioteknologi Beijing Kexing Zhongwei juga menyatakan bahawa vaksin mereka kini sedang menjalani kajian klinikal tahap ketiga di Brazil, Bangladesh dan beberapa buah negara lain dan masih belum dilancarkan.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular