Ramai yang ketahui bahawa untuk mendapatkan kepercayaan daripada kucing jalanan sememangnya bukan mudah. Ada antaranya yang mengambil masa sehingga beberapa bulan sebelum akhirnya kucing itu mula memberi kepercayaan kepada ‘manusia’ yang biasa dilihatnya.

Begitulah yang dilalui oleh Lex, seorang lelaki berkulit putih yang berusaha selama setahun untuk meraih kepercayaan seekor kucing jalanan berwarna oren, yang dinamakan sebagai “Cinnabon” di kawasan kejiranan baharu Lex.

Menurut pemilik rumah Lex, kawasan kejiranan itu sememangnya mempunyai banyak kucing jalanan dan Lex tidak perlu menghiraukan mereka. Bagaimanapun, pada suatu hari, Lex dipertemukan dengan Cinnabon yang bersiar-siar di kawasan rumahnya. 

“Saya dapati bahawa kucing itu (Cinnabon) kelihatan sangat kurus,” ujar Lex kepada The Dodo.

Walaupun pada ketika itu Lex bukanlah seorang yang sukakan kucing, namun kerana rasa belas kasihan, Lex memutuskan untuk menyediakan semangkuk makanan dan minuman di balkoni luar rumahnya untuk dimakan oleh Cinnabon.

Pada mulanya, Cinnabon datang untuk menikmati makanan. Tetapi dalam masa yang sama Cinnabon masih lagi tidak mempercayai Lex dan cenderung untuk melarikan diri sebaik sahaja melihat kelibat Lex. Walaupun ketika mereka berdua dipisahkan oleh sekeping kaca pintu, namun Cinnabon masih lagi berasa takut akan Lex!

Pun begitu, Lex tetap tidak berputus asa, dia terus-terusan memberi makanan dan minuman untuk Cinnabon pada setiap hari. Sehinggalah akhirnya Lex berasa seperti dia ‘bertanggungjawab’ kepada Cinnabon dan dia memutuskan untuk menyediakan sebuah rumah kucing untuk Cinnabon.

“Saya letakkan selimut di dalamnya, seperti rumah kecil untuknya (Cinnabon)” kata Lex.

Walaupun selepas menyediakan rumah yang selesa untuk Cinnabon, namun, kucing itu masih belum mempercayai Lex sepenuhnya. Oleh itu, Lex tetap juga terus memberi makanan kepada Cinnabon, tetapi dengan cara yang berlainan.

Lex mula meletakkan makanan Cinnabon di dalam ruang rumah agar Cinnabon masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan makanan. Disamping itu, Lex juga menggunakan kaedah yang sama untuk memberikan makanan ringan kepada Cinnabon.

Sedikit demi sedikit, akhirnya Cinnabon mula mempercayai Lex setelah setahun Lex berusaha.

Kini, Cinnabon merupakan salah satu ahli keluarga Lex yang sangat akrab dan mereka saling memerlukan sesama sendiri.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan menjadi pencinta kucing pada suatu hari. Malah, saya tidak memilih Cinnabon, tetapi Cinnabon yang memilih saya. Perkara ini telah memberi banyak pengajaran buat saya.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular