Seorang wanita berusia 72 tahun yang sebelum ini tular kerana telah melanggar perintah kuarantin di rumah telah dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda sebanyak RM 8,000.

Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, yang lebih dikenali sebagai “mak cik gelang pink” yang tular di media sosial selepas dirakam menikmati hidangan di salah sebuah restoran di Bandar Meru Raya, Ipoh, mengaku bersalah kerana telah melanggar perintah kuarantin di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan.

Menurut laporan Malaysiakini, Majistret Nabihah Mohd Noor yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Nur Emah untuk menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Nur Emah sebelum ini telah pulang ke Malaysia dari luar negara pada 4 Julai lalu dan keputusan ujian saringan COVID-19 yang pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menunjukkan keputusan negatif.

Bagaimanapun, ketika Nur Emah masih dalam arahan kuarantin di rumah selama 14 hari setelah tiba di tanah air, Nur Emah telah keluar bersarapan pagi bersama keluarganya di salah sebuah premis di Perak pada 6 julai.

Selepas menjalani ujian saringan COVID-19 yang kedua pada hari yang ke-13 kuarantin, Nur Emah dan anak lelakinya bagaimanapun didapati positif COVID-19.

Nur Emah didakwa mengikut Seksyen 22 (b) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular