Seorang wanita berusia 34 tahun meninggal dunia setelah mengalami serangan asma ketika dia mencampurkan cecair peluntur dan pencuci tandas untuk membersihkan bilik mandi.

Leah Seymour atau Celia berada di rumahnya di Feltham, London barat pada 19 Julai dengan Peter Seferi, pemilik premis cuci kereta tempatnya bekerja pada ketika dia rebah dan menderita serangan asma yang membawa maut.

Menjelaskan bagaimana tragedi itu berlaku, Peter berkata, “Saya menghubungi Celia dan berkata saya akan sampai di rumahnya dalam masa lima minit. Katanya, dia sedang membersihkan bilik mandi dan akan membiarkan pintu terbuka untuk saya. Ketika sampai di sana dalam masa kurang dari lima minit, saya terhidu bau yang kuat, sehingga sampai menusuk ke dalam dada. Kami keluar dan bercakap seperti biasa.”

Unsplash/Gambar Hiasan

Tetapi beberapa minit kemudian, Celia tiba-tiba mengalami kesukaran untuk bernafas dan meminta Peter memanggil ambulans. Ketika Celia rebah dan pengsan, Peter melakukan bantuan pernafasan CPR dengan bimbingan pengendali panggilan kecemasan.

Celia dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma, yang meninggal dunia empat hari kemudian.

Ibunya Julie Felon yang tinggal di Essex berasa amat sedih dan berkata pihak bomba mengesahkan kedua produk pembersih itu iaitu cecair peluntur dan satu lagi bahan pencuci tandas telah bertindak balas lalu menghasilkan gas yang mencetuskan serangan asma yang teruk sehingga membawa maut.

Ibu Celia kini meminta orang ramai untuk tidak mencampurkan cecair peluntur dengan produk pembersih atau pencuci lain kerana ia boleh membahayakan nyawa dan memudaratkan kesihatan.

Pixabay/Gambar Hiasan

“Saya masih berada dalam keadaan tidak percaya kerana dia telah pergi. Dia baru sahaja memulakan hidupnya dengan baik setelah sebelum ini bercampur dengan orang yang salah,” kata Julie.

Mendiang Celia adalah pengurus Atlantico Hand Car Wash yang dimiliki Peter dan ia terletak di Betchworth, Surrey. 

Peter berkata, Celia telah bekerja dengannya selama lima tahun dan dia telah bersahabat dengannya selama lapan tahun yang dianggap seperti ahli keluarga.

“Apabila seseorang meninggal dunia, orang tidak akan mengatakan apa-apa melainkan perkara yang baik tentang mereka dan saya hanya mahu berkata yang baik tentang wanita ini,” kata Peter. 

SurreyLive

Peter Seferi kini telah menukar nama kedai cuci keretanya kepada Celia Hand Car Wash sempena nama sahabatnya yang telah pergi secara mengejut.

“Dia seorang pekerja yang hebat. Kami menempatkan buku peringatan di sini untuknya dan orang-orang tidak dikenali telah masuk dan meninggalkan bunga untuknya. Kami benar-benar berasa terharu,” tambah Peter.

Pihak polis meneruskan siasatan mengenai punca sebenar kematian Leah Seymour walaupun pihak bomba mengesahkan campuran cecair peluntur dan produk pencuci tandas menjadi punca mendiang mendapat serangan asma yang teruk sehingga membawa maut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular