KUALA PERLIS – Dua lelaki daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersasar (PKPDB) yang memakai gelang pink telah ditahan oleh pihak polis.

Ia berikutan kedua individu tersebut bergerak keluar daripada kawasan PKPDB (Kampung Kuala Sanglang) ke Kangar bagi mengisi borang Bantuan Sara Hidup (BSH).

Mereka yang berusia 47 dan 60 tahun berkenaan ditahan pada jam 11 pagi ketika berurusan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kangar selepas polis mendapat maklumat mengenainya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, mereka yang merupakan petani itu didapati membolosi dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di Simpang Empat dan Kuala Perlis melalui jalan tikus.

Kini kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 dan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mereka kemudiannya telah dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Pihak LHDN juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa premisnya di Kangar tergendala buat sementara waktu pada 11 Ogos lalu menerusi laman rasmi Facebook.

Dalam pada itu, segelintir penduduk meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan jalan tikus yang digunakan oleh individu untuk keluar daripada kampung yang terlibat PKPDB.

“Jalan tikus terletak di antara Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah TImbul, Perlis – bersambung dengan jalan utama ke Jeti Nelayan Kuala Sanglang di bahagian Kedah”, jelas seorang penduduk.

Tambahnya, lorong itu tidak begitu besar dan hanya boleh dilalui oleh motosikal sahaja tetapi ia menjadi laluan utama segelintir masyarakat untuk meloloskan diri daripada PKPDB.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular