Zoo adalah salah satu lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu atau ketika percutian. Selain boleh dijadikan sebagai aktiviti untuk mengeratkan hubungan keluarga, lawatan ke zoo juga boleh menambah ilmu pengetahuan kanak-kanak tentang pelbagai spesies haiwan.

Malah, zoo juga diwujudkan bagi memastikan haiwan-haiwan ini terpelihara dan tidak diancam kepupusan. Namun, apakah perasaan anda sekiranya melihat kawasan tempat tinggal haiwan ini tidak diuruskan dengan baik dan dibiarkan tinggal dalam kekotoran?

Pada 10 Ogos lalu, seorang pengguna Facebook telah berkongsi satu video pendek berdurasi 19 saat memaparkan satu insiden yang cukup memalukan. Dalam video berkenaan, warganet ini telah mengunjungi kawasan hidupan penguin di Zoo Negara. Namun begitu, penguin yang malang ini bukan sahaja dibiarkan hidup sendirian tanpa pasangan mahupun spesies yang lain tetapi penguin ini juga hidup dalam kawasan yang sangat kotor. 

Kotor bukan setakat kotoran yang dipenuhi dengan sisa makanan atau sisa najis, tetapi ianya sehingga ke tahap tikus-tikus pun boleh mendiami habitat penguin tersebut! Lebih mengejutkan lagi, lebih daripada seekor tikus kelihatan berkeliaran di kawasan khas yang menempatkan penguin spesies Humboldt itu.

“Sungguh mengecewakan melihat seekor penguin yang hidup terkurung oleh Zoo Negara. Tolong beritahu saya, adakah saya melihat tikus? Saya berharap pihak pengurusan dapat menangani isu ini dengan baik daripada membiarkan pekerja anda tidur sahaja,” luah netizen itu menerusi Facebook miliknya.

Sehingga artikel ini ditulis, video dan gambar ini telah menular dan mendapat sehingga hampir 3,000 perkongsian dengan lebih 500 komen daripada pengguna Facebook lain. Rata-ratanya mengecam pihak Zoo Negara Malaysia yang nampaknya tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. 

“Bayangkan jika anda adalah penguin tersebut, adakah anda mahu tinggal di kawasan itu? Lagi satu, jika cuaca persekitaran cukup sejuk, adakah akan terdapat tikus di situ? Saya berharap pihak berkuasa akan memandang serius akan permasalahan ini”.

Tetapi masih terdapat segelintir netizen yang melontarkan pendapat mereka dan tidak menyalahkan sebelah pihak sahaja.

“Kekurangan dana setiap tahun adalah puncanya. Tanya diri sendiri, berapa kali dalam setahun anda pergi ke zoo? Dahulu, kita hanya perlu membayar yuran kemasukan sahaja tetapi hari ini, harga kemasukan mencecah sehingga RM50 tetapi masih tidak mencukupi untuk membiayai sebuah zoo”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL VIDEO

Video Popular