MELAKA – Ribut kencang yang melanda Melaka pagi tadi telah menyebabkan kecederaan kepada enam murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim yang dihempap runtuhan siling bangunan sekolah.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, kejadian yang berlaku sekitar jam 10.17 pagi itu melibatkan runtuhan beberapa siling dan bumbung sekolah yang turut diterbangkan angin sejauh 50 meter.

Sejurus menerima laporan mengenai kejadian, pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian dan mendapati seramai 22 murid ditempatkan di luar bangunan manakala enam lagi mengalami kecederaan dan trauma. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pada masa yang sama, tinjauan di sekolah berkenaan turut mendapati terdapat lebih daripada tiga buah bilik darjah di tingkat dua bangunan mengalami kerosakan teruk dan bumbungnya juga tercabut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan iaitu Dr Mah Hang Soon dan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali turut dilihat menziarahi kawasan sekolah tersebut. Laporan media mendapati terdapat lebih 30 buah rumah di kawasan sekitar termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu terjejas teruk akibat bencana ribut ini.

Selain sekolah dan perumahan, beberapa batang pokok dan tiang lampu isyarat turut tumbang akibat angin kuat tersebut. Kenderaan yang diparkir di tepi jalan turut mengalami kerosakan akibat dihempap pokok yang tumbang.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular