Pada 8 Ogos lalu, kerajaan Perlis telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di dua buah kampung di Kuala Sanglang.

Keputusan itu melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan juga Kampung Tanah Timbul ekoran kenaikan kes positif COVID-19.

Menurut laporan, seramai 912 orang penduduk di kedua-dua buah kampung tersebut perlu menjalani ujian saringan setelah Perlis mencatatkan 11 kes baharu semenjak 4 Ogos lalu.

Kesemua 11 kes berasal daripada keluarga yang sama dan dijangkiti setelah ahli keluarga mengunjungi restoran nasi kandar yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga di Kedah.

Selain daripada itu, sebanyak 3 buah sekolah dan juga 12 buah masjid di sana turut diarahkan tutup bagi membendung penularan wabak penyakit itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menerusi kenyataan di Facebook juga menjelaskan bahawa 3 buah sekolah tersebut adalah SK Sanglang, SMK Sanglang dan SJKC Chin Hun.

Penutupan sekolah berkenaan difahamkan adalah selama 2 minggu mulai 10 Ogos hingga 23 Ogos, melibatkan sejumlah 876 orang pelajar dan 112 orang guru.

“Guru-guru terlibat kini diwajibkan menjalani Home Isolation Order (HIO) atau Perintah Pengasingan Dirumah selama tempoh tersebut”, tulis beliau.

Dalam pada itu, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan 12 buah masjid di Sanglang dan kawasan berdekatan untuk ditutup mulai 7 Ogos lalu hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ia diumumkan sendiri oleh Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang bertitah bahawa penutupan masjid itu dilakukan berikutan berulangnya penularan wabak COVID-19 di negeri itu.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular