Tiada yang lebih menyeronokkan jika kita boleh keluar bebas dan berjalan ke mana pun tanpa rasa takut atau terancam. Namun, hakikatnya hari ini apa sahaja boleh berlaku dan kejadian yang tidak diingini boleh terjadi tanpa kita jangka. Jadi, untuk mengelak kejadian buruk berlaku kita harus berfikir dan bertindak segera supaya keselamatan kita terjamin.

Tersebar sebuah video di Twitter menunjukkan sekumpulan YouTuber sedang melakukan ‘live’ ketika sedang berjalan-jalan di Korea Selatan. Jika diperhatikan ia hanyalah sebuah ‘live’ biasa tetapi tidak lama selepas itu muncul seorang gadis lain masuk ke dalam kumpulan itu secara tiba-tiba.

Pada mulanya, pemuda yang sedang bercakap dengan kamera itu, Jake agak kehairanan melihat gadis itu muncul secara tiba-tiba namun gadis itu kemudian menjelaskan kepadanya dengan suara yang rendah bahawa ada seorang lelaki sedang mengikutinya.

Kumpulan YouTuber itu pantas memahami apa yang sedang berlaku dan mereka terus berlakon sama dengan wanita tersebut seolah-olah mereka sudah lama kenal antara satu sama lain. Mereka kemudian meneruskan ‘live’ tersebut dan melalui rakaman tersebut kelihatan seorang lelaki tidak jauh dari kedudukan mereka yang sedang memerhatikan tindak-tanduk mereka. Mereka terus berlakon sebagai kawan kepada wanita itu sehingga lelaki yang mengekorinya berlalu pergi dari situ.

Netizen yang mengetahui kejadian tersebut semuanya berasa lega kerana wanita itu akhirnya selamat. Mujur wanita itu pantas bertindak dan kumpulan YouTuber tersebut turut sama membantunya mengeluarkannya daripada situasi genting itu.

Sehingga kini video yang dimuat naik ke Twitter itu telah ditonton lebih daripada 4.5 juta kali dan telah di ‘retweet’ lebih daripada 74,000 kali.

Apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran buat semua. Apa yang dilakukan wanita itu merupakan antara tindakan bijak yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berhadapan dengan situasi seperti itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular