Malapetaka letupan dahsyat di Beirut, Lubnan yang berlaku pada 4 Ogos telah menyebabkan ibu negara itu hancur bagai terkena letupan bom mengakibatkan kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Sekurang-kurangnya 170 kematian dan 4,000 mangsa yang cedera serta memerlukan rawatan perubatan telah dilaporkan.

Manakala 300,000 mangsa yang lain kehilangan tempat tinggal dan memerlukan bantuan segera seperti makanan dan tempat tinggal sementara.

@BushraHashmi_/Twitter

Ketika warga Beirut berada di ambang bahaya akibat letupan amat dahsyat yang dipercayai berpunca dari stor yang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat ini, ramai yang telah berusaha untuk melindungi golongan yang perlu dilindungi tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.

@HSajwanization/Twitter

Salah seorang wira yang dapat dirakam tindakan pantas mereka adalah seorang wanita yang dengan berani sanggup mengetepikan keselamatan diri sendiri demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak daripada menerima kesan buruk akibat letupan Beirut.

Rakaman video yang dimuat naik oleh Hassan Sajwani di Twitter menunjukkan wanita yang dipercayai seorang pembantu rumah pada mulanya sedang mengemas balkoni hadapan rumah majikannya, manakala seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak majikan itu sedang bermain di ruang permainan berdekatan dengannya.

@HSajwanization/Twitter

Wanita ini tiba-tiba terkejut dan tergamam seketika apabila terdengar bunyi dentuman kuat serta gegaran, lantas dia segera melihat sekeliling untuk mengenal pasti punca gegaran itu. 

Tiba-tiba letupan besar itu berlaku dengan gegaran kuat menyebabkan kaca dan dinding berhampiran balkoni rumah itu telah pecah dan runtuh. 

@HSajwanization/Twitter

Pembantu rumah yang berani ini dengan sepantas kilat menurut naluri keibuannya untuk mencapai anak majikannya dan menggendongnya menuju ke tempat yang lebih selamat.

@HSajwanization/Twitter

Dia melindungi kanak-kanak itu dengan seluruh tubuhnya tanpa memikirkan keselamatan dirinya sendiri, yang mungkin mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca dan batu dari dinding yang runtuh.

@HSajwanization/Twitter

Dalam satu rakaman video lain oleh Saudi Gazette, seorang bapa dengan pantas melindungi anak lelakinya yang ketakutan ketika rumah mereka mula bergegar akibat letupan besar itu. 

Ketika itu asap sudah mulai masuk ke dalam ruang tamu rumah mereka dan bapa ini membawa anaknya ke ruang tamu sebelum meletakkannya di bawah meja untuk melindungi anaknya daripada menerima kesan akibat letupan yang sangat kuat.

@Saudi_Gazette/Twitter

Presiden Lubnan, Michel Aoun mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu dan Perdana Menteri, Hassan Diab mengisytiharkan hari Rabu, 5 Ogos sebagai hari berkabung di seluruh Lubnan sebagai menghormati tragedi letupan Beirut.

@HSajwanization/Twitter

Semoga semua mangsa yang terlibat dalam tragedi letupan Beirut cekal dan tabah menghadapi dugaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI VIDEO

Video Popular