Jika anda masih ingat, pada bulan yang lalu, salah satu lukisan mural penghargaan pemimpin Malaysia di sebuah dinding yang terletak di Taman Cahaya Alam, Shah Alam telah menjadi mangsa vandalisme apabila dua orang wanita didapati menconteng lukisan mural itu dengan kata-kata kesat.

Pelukis mural dinding yang hebat itu, Suhaimi Ali, bagaimanapun tidak berputus asa selepas insiden yang mengecewakan ramai rakyat Malaysia itu. Dengan bakat dan kesungguhan dalam diri, Suhaimi terus mencorakkan lebih banyak dinding di negara ini dengan lukisan mural yang membanggakan.

Lukisan mural dinding kedua yang mendapat perhatian ramai selepas lukisan dinding di Shah Alam hasil tangan Suhaimi kini terletak di Makan Heritage, Kota Damansara.

Kali ini, Suhaimi nekad melukis lain-lain wira yang sama-sama berganding bahu melancarkan urusan semua rakyat Malaysia sewaktu perang melawan pandemik Covid-19.

Antara watak yang dilukis dalam mural dinding yang terbaharu ini adalah seperti polis, jururawat, doktor, askar, bomba, penghantar makanan Foodpanda serta Grab Food, dan tidak lupa juga Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Tambah mengharukan, semua watak mural yang dilukis ini turut berlatarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang. Sentuhan yang nampak ringkas ini sebenarnya dapat memetik rasa patriotik dalam diri rakyat Malaysia dan membuatkan lebih ramai orang menghargai jasa-jasa wira negara ini.

Sememangnya, hasil lukisan Suhaimi Ali ini benar-benar luar biasa dan boleh membuatkan ramai rakyat Malaysia semakin menghargai negara ini. Diharapkan, lukisan mural ini akan kekal selamanya dalam keadaan yang terpelihara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular