PUTRAJAYA– Kerajaan telah mengumumkan bahawa bermula 1 Ogos penggunaan pelitup muka adalah diwajibkan semasa berada di kawasan sesak atau ketika menggunakan pengangkutan awam.

Bagi mana-mana individu yang ingkar terhadap arahan tersebut kerajaan tidak akan bertolak ansur dan denda akan dikenakan kepada mereka yang bersalah.

Media melaporkan bahawa majoriti orang ramai mematuhi peraturan baharu itu berdasarkan tinjauan di beberapa lokasi tumpuan utama di ibu negara dan Georgetown sehinggalah ke Gua Musang. Namun, ada juga yang ingkar dan dikenakan tindakan oleh PDRM seperti yang berlaku di Butterworth dan Port Dickson.

Gambar Hiasan/Facebook

Kerajaan telah umumkan peraturan baharu pada 23 Julai lalu bagi memberi masa kepada orang ramai bersiap sedia dan membiasakan diri. Peraturan itu dikuatkuasa mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988), jika ingkar boleh didenda RM1,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM menguatkuasa sepenuhnya peraturan baharu itu. Selain itu, PDRM juga menggunakan pendekatan budi bicara dan berhemah untuk memastikan tiada unsur penganiayaan.

Tambahan lagi, PDRM akan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu sebelum tindakan kompaun kepada yang ingkar, kata Abdul Hamid seperti yang dilaporkan Berita Harian. PDRM mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan SOP yang ditubuhkan kerajaan.

Pelitup muka diwajibkan di tempat awam dan sesak ekoran penjarakan fizikal semakin sukar dipatuhi selepas semua sektor ekonomi dibuka hampir sepenuhnya pada 10 Jun lalu.

Jika tempat itu dipenuhi orang awam yang tiada penjarakan fizikal, secara automatik orang awam wajib memakai pelitup muka. Antara kawasan awam itu pasar tani, pasar raya, taman rekreasi dan tempat pelancongan.

Peraturan ini juga terpakai di semua pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT dan perkhidmatan e-hailing (rujukan Majlis Keselamatan Negara)

Di beberapa negara, kes kembali meningkat selepas perintah berkurung, darurat dan kawalan pergerakan ditamatkan dimana sektor ekonomi dibuka semula seperti di Australia, Hong Kong, Jepun, Jerman, India dan Sepanyol.

Mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan mengelak gelombang ketiga COVID-19, kerajaan atas nasihat KKM mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak.

Gambar Hiasan/Facebook

Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter masih ditekankan KKM kerana ia langkah pencegahan paling berkesan selain amalan lain seperti kerap mencuci tangan dengan betul dan berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Dalam pesanan khas sempena penguatkuasaan peraturan baharu, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba menjelaskan hanya 4 kategori orang tidak boleh memakai pelitup muka iaitu:

1. Kanak-kanak bawah 2 tahun
2. Mereka yang sukar bernafas
3. Individu yang tidak sedarkan diri
4. Orang kurang upaya yang tidak mampu menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Negara kita telah berjaya mengharungi gelombang pertama dan kedua COVID-19 dan kita tidak sanggup untuk berdepan gelombang ketiga apatah lagi PKP.

“Kita semua perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk melawan wabak ini kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh”, kata nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kita perlu menjaga diri sendiri daripada dijangkiti virus COVID-19 dengan mematuhi semua SOP termasuk memakai pelitup muka di tempat sepatutnya. Tindakan ini secara langsung membantu menyelamatkan negara daripada gelombang ketiga.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular