KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menolak keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan seterusnya mengadakan pilihan raya negeri mengejut kerana bimbang akan keselamatan nyawa rakyat Sabah.

Astro Radio News/Facebook

Menerusi satu sidang media hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu memaklumkan sudah memiliki 33 akuan bersumpah (SD) ADUN yang menyokong beliau. Hal ini sekali gus membolehkan beliau mempunyai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan.

Tambah Musa lagi, tindakan membubarkan DUN adalah tidak wajar kerana ianya boleh menyebabkan pembaziran wang selain mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak Virus PKC (COVID-19).

“Kalau kita perhatikan dengan keadaan wabak COVID-19 yang melanda negara kita termasuk Sabah, pembubaran DUN adalah langkah tidak wajar. Kerana yang ada hari ini jelas di sini bahawa ada 33 ADUN iaitu simple majoriti membolehkan kita menubuh kerajaan negeri”.

“Saya juga kira, kepentingan dan kesihatan rakyat, jadi keutamaan kita dalam buat sebarang keputusan. Jangan sekali kali kita perjudikan nyawa rakyat semata mata untuk kepentingan peribadi dan politik,” tegas beliau dalam sidang media itu.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal/Facebook

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada awal pagi tadi. Mohd Shafie turut menjelaskan bahawa pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari. Pada tempoh yang sama, beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker).

“Adalah amat jelas bahawa dari aspek undang-undang dan perlembagaan Sabah, bahawa saya layak dilantik TYT untuk menjadi Ketua Menteri Sabah kerana saya mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi,” tegas Musa.

“TYT mempunyai tanggungjawab di bawah perlembagaan untuk memberi pertimbangan yang wajar sama ada saya mempunyai majoriti untuk tubuhkan satu kerajaan baharu bagi Sabah,” tambah Musa yang berpendapat Kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie ketika ini berada dalam keadaan lemah dan tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

Malah, Musa mendakwa beberapa ADUN Pakatan Harapan dan Warisan turut mengambil keputusan untuk meninggalkan parti mereka dan menyertai gabungan Musa.

“Ini jelas terbukti kerana bersama saya, adalah 33 ADUN termasuk saya sendiri, wakil-wakil rakyat yang sudah menandatangani surat akuan, yang mana saya telah serahkan kepada TYT pada pagi ini melalui peguam-peguam saya”.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular