Walaupun keadaan ekonomi dunia kini terus merosot akibat pandemik, umum mengetahui harga emas dilaporkan berpotensi untuk terus meningkat hingga akhir tahun ini, memandangkan ia telah mencatat peningkatan lebih 60 peratus dalam tempoh dua tahun sejak bulan Julai 2018.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata kepada Berita Harian, harga emas pukal atau harga spot emas dijangka mencecah USD2,000 per aun atau lebih RM300 per gram dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya, permintaan runcit untuk membeli barang kemas atau emas perhiasan juga meningkat susulan lebihan tunai yang diterima oleh setiap individu yang memanfaatkan moratorium bayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh kerajaan.

Pixabay/Gambar Hiasan

Mohd Zaruddin berkata, baru-baru ini harga emas pukal berada pada paras lebih dari RM260 per gram dan ia merupakan paras tertinggi yang pernah dicatatkan sejak tahun 2011.

Tambahnya, aliran menaik secara drastik pada tahun ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti perang perdagangan Amerika Syarikat dan China serta kelembapan pasaran ekonomi ekoran pandemik COVID-19.

“Emas adalah antara sektor yang mencatatkan prestasi kukuh walaupun sektor komoditi lain seperti minyak mentah berhadapan dengan penurunan ketara selain pasaran saham terus merosot,” katanya.

“Di Malaysia, emas adalah antara sektor yang kukuh. Harga barangan kemas meningkat dengan ketara dan tidak mustahil ia juga akan mencecah RM300 segram dalam beberapa bulan akan datang,” jelasnya.

Pixabay/Gambar Hiasan

Kata Mohd Zaruddin, permintaan terhadap emas tetap terus meningkat. Berdasarkan permintaan yang diterima, isi rumah mungkin menghadapi tekanan kewangan akibat COVID-19, tetapi mereka masih terdapat lebihan wang tunai di tangan.

Selain itu, pemberian moratorium dan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan sebagai salah satu cara pemulihan ekonomi telah memberikan peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk membeli emas, sekali gus ia menjadi medium pelaburan yang lebih baik.

Mohd Zaruddin menasihatkan orang ramai, ketika berada dalam situasi sukar yang tidak pernah dialami sebelum ini, pelaburan emas mampu memberikan pulangan serta jaminan lebih baik kepada pengguna berbanding pelaburan konvensional yang lain.

Pixabay/Gambar Hiasan

Tambahnya, pelaburan emas mungkin bukan pilihan utama rakyat Malaysia, tetapi berdasarkan data sebelum ini, harga emas tidak pernah mencatatkan penurunan yang ketara.

Malahan, walaupun nilai emas mencatatkan penurunan, ia akan kembali meningkat dalam masa yang singkat, berbanding membuat pelaburan dalam pasaran lain.

“Emas adalah pelaburan jangka panjang, medium yang sesuai digunakan untuk pelaburan bagi isi rumah. Pelabur kini juga semakin beralih kepada emas,” kata Mohd Zaruddin.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular