Naluri keibuan wujud dalam diri setiap ibu yang mempunyai anak, tidak kiralah manusia mahupun haiwan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan anak-anak yang disayangi sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Seperti seekor ibu tikus yang sanggup ‘menyelam’ dalam lubang yang dipenuhi air hujan semata-mata untuk menyelamatkan 5 ekor anaknya.

@chiangmaielephant/Facebook

Menerusi sebuah video berdurasi 3:10 yang dimuat naik oleh @chiangmaielephant di laman Facebook pada 20 Julai lalu, seekor ibu tikus dirakam sedang berulang alik menyelamatkan anak-anaknya yang terperangkap di dalam sebuah lubang kecil yang pada waktu itu semakin dibanjiri oleh air hujan yang lebat.

@chiangmaielephant/Facebook

“Cinta ibu tanpa mengira ragam. Cinta ibu tanpa mengira spesies. Ibu tikus (ini) menyelamatkan anak kecilnya ketika hujan turun dengan lebat.

Saya sering mengatakan, haiwan kecil tidak bodoh. Cuma kita yang tidak memahaminya. Manusia tidak bijak. Haiwan menggunakan semua naluri yang mereka ada. Semua ini adalah evolusi kehidupan yang berterusan. Manakala manusia pula hanya mempunyai kemampuan untuk berfikir lebih banyak sebelum dan selepas melakukan sesuatu” tulis kiriman itu.

@chiangmaielephant/Facebook

Tanpa berputus asa, ibu tikus itu masuk ke dalam lubang yang dipenuhi air dan keluar dengan anaknya yang digonggong di bahagian mulut. Walaupun perlu melalui beberapa anak tangga yang agak tinggi untuk saiznya yang kecil untuk tiba ke tempat teduhan, namun, ibu tikus itu tetap tidak berputus asa.

@chiangmaielephant/Facebook

Selepas beberapa kali menyelamatkan anaknya, ibu tikus itu kelihatan agak kepenatan. Namun si ibu tikus itu terus-terusan berulang-alik masuk dan keluar dari lubang itu untuk menyelamatkan anak-anaknya sebelum mereka lemas.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video ini telahpun mendapat perhatian ramai sehingga meraih lebih dari 1.4 juta tontonan, lebih dari 10,000 perkongsian, lebih dari 23,000 reaksi dan lebih dari 1,000 komen daripada warganet yang berasa terharu dengan tindakan luar biasa si ibu tikus ini.

@chiangmaielephant/Facebook

Memang sayu melihat usaha si ibu tikus yang sanggup menggadaikan nyawanya untuk keselamatan anak-anaknya itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular