Sebilangan penduduk di Virginia dan Utah, Amerika Syarikat (AS) telah menerima biji benih yang tidak diketahui, disyaki berasal dari China.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kepada penduduk di sana untuk tidak menanam biji benih daripada sumber yang tidak diketahui berkenaan.

Manakala ada pegawai yang mengesyaki bahawa ianya merupakan benih tanaman invasif – mudah tersebar dan membawa kerosakan persekitaran termasuklah pada manusia.

@VaAgriculture/Twitter

Menurut Fox News, penduduk Victoria ada memberitahu Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Pengguna bahawa mereka telah menerima pesanan yang mengandungi beberapa paket benih tersebut.

Bungkusan pada paket jelas tertera huruf Cina. Jenis benih itu masih belum dapat dipastikan.

Mengesyaki bahawa ianya merupakan benih tanaman invasif, pegawai menyaran agar penduduk tidak menanamnya.

Menurut Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Pengguna Victoria, spesies invasif berupaya untuk mengakibatkan kerosakan pada persekitaran, mengganti atau memusnahkan tanaman dan serangga asal serta merosakkan tanaman.

Justeru, antara kaedah paling berkesan untuk mengurangkan risiko penyebaran tanaman ini selain mengurangkan kos pengawalan adalah dengan mengambil langkah-langkah pencegahan daripada awal.

Virginia bukanlah satu-satunya negeri yang menerima bungkusan benih terbabit. Ini kerana stesen televisyen Salt Lake City Fox 13 juga melaporkan bahawa terdapat penduduk di Utah yang turut menerimanya.

@VaAgriculture/Twitter

Beberapa pesanan itu dihantar dengan maklumat yang tidak tepat, antaranya dikategorikan sebagai barang kemas dan barangan berharga.

Seorang penduduk daerah Tooele, Utah, Lori Culley berkata bahawa dia membuka peti surat dan menemui pelbagai jenis biji benih. “Jelas sekali ia bukanlah barang kemas”.

Difahamkan bahawa Jabatan Pertanian dan Makanan Utah berkemungkinan akan bekerjasama dengan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut.

Walau bagaimanapun, Fox Salt Lake City 13 juga melaporkan bahawa Jane Rupp selaku presiden Better Business Bureau mengatakan bahawa insiden itu berkemungkinan apa yang disebut sebagai “brushing”.

Brushing dalam perniagaan adalah penipuan yang dilakukan oleh penjual untuk mendapatkan penilaian palsu dan positif untuk meningkatkan penilaian produk mereka sekaligus menambah jualan.

Pihak syarikat akan menghantar sesuatu kepada orang lain dan memuat naik komen atau penilaian palsu menggunakan nama samaran penerima.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular