KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 2,897 orang individu masih belum tampil untuk melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas 13 hari menjalani kuarantin di rumah.

MANAN VATSYAYANA/AFP via Getty Images

Menurut Dr Hisham, sehingga 24 Julai lalu terdapat 17,897 individu yang pulang dari luar negara sudah mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan sudah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh pejabat kesihatan daerah.

Tambah beliau lagi, individu tersebut perlu duduk di rumah untuk menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan perlu mengelakkan daripada bercampur dengan ahli keluarga atau rakan serumah. Namun begitu, jika penjarakkan sosial yang selamat sukar untuk diamalkan maka penutup muka harus dipakai.

Selain itu, berlakunya beberapa kes yang melibatkan individu yang memakai gelang tangan merah jambu yang makan di luar telah menunjukkan bahawa ada segelintir yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah sejak 1 Julai lalu, sebanyak 15 kluster baru telah muncul di negara ini.

Beliau juga mendedahkan bahawa antara 7 Julai dan 20 Julai, sebanyak 24.8% individu yang berada di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) tidak menggunakan Alat Penilaian Rumah yang terdapat di aplikasi mudah alih MySejahtera.

“Mereka juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri selain penggunaan gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh berkenaan,” tambah Dr Hisham lagi.

Sementara itu, berdasarkan data yang diberikan oleh aplikasi MySejahtera, Dr Noor Hisham menyatakan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi mematuhi SOP dengan ketat seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Walaupun jumlah pendaftaran MySejahtera meningkat selama tiga minggu terakhir ini, beliau mengatakan bahawa jumlah daftar masuk di restoran, pasar raya dan tempat-tempat lain adalah semakin menurun.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin tidak mematuhi SOP,” tambahnya.

“Pemilik premis dan orang ramai diingatkan untuk terus mengikuti SOP untuk memastikan kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 dalam kalangan masyarakat.”

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mengambil peranan aktif dalam membuat laporan kepada pihak polis jika terdapat mana-mana individu yang melanggar SOP.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular