GEORGE TOWN- Polis menahan seorang lelaki berumur 35 tahun selepas gambarnya menyelitkan sepucuk pistol di pinggangnya semasa menunggang motosikal tular di media sosial. Lelaki yang merupakan seorang pengawal keselamatan itu ditahan polis di pos pengawal sebuah kondominium di Sungai Ara, Bayan Lepas, Sabtu lalu pada kira-kira jam 3 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong lelaki itu dikesan oleh pihak polis yang melakukan pemantaun jenayah di media sosial pada sekitar 2.30 petang dan kurang daripada 24 jam lelaki itu berjaya dikesan. Tambahnya lagi, seorang individu telah memuat naik dua buah gambar tersebut di laman sosial media.

Dalam foto tersebut, lelaki itu dilihat sedang menunggang motosikal Honda Wave dengan pistol yang terselit di pinggangnya semasa melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang kelihatan menuju ke Jambatan Pulau Pinang di Georgetown.

Walau bagaimanapun, pistol tersebut rupa-rupanya pistol tiruan yang dibeli oleh suspek dengan harga RM70 dari sebuah kedai runcit di Tanjung Tokong pada Mei lalu dengan tujuan untuk menembak cicak.

Menurut ACP Soffian, lelaki itu juga memberitahu bahawa dia menyelitkan pistol tersebut di pinggangnya hanya untuk suka-suka.

Beberapa barang lain turut dirampas ketika penahanan dibuat ialah sepucuk pistol tiruan dengan satu kelopak, beg sandang, motosikal Honda Wava, anak kunci dan topi keledar.

Lelaki tersebut juga mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dua kes yang melibatkan dadah.

Kini lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang boleh membawa kepada denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular