PUTRAJAYA – Pemakaian pelitup muka di tempat tumpuan awam yang sesak adalah wajib bermula 1 Ogos 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peraturan terbaharu tersebut ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 23 Julai.

Beliau mengumumkan peraturan yang sama turut berkuat kuasa dan wajib ketika orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata bahawa terdapat penurunan kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Peningkatan kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini membimbangkan,” jelas Datuk Seri Ismail Sabri.

“Jarak sosial dan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam tidak lagi dipatuhi, bahkan ketika orang ramai berada di tempat tumpuan awam yang sesak,” katanya.

Beliau menambah orang ramai akan dibenarkan memakai pelitup muka buatan sendiri, asalkan mengikut spesifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Individu yang ingkar memakai pelitup muka di tempat tumpuan awam boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular