- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Gagal habiskan makanan, gadis ini tulis nota untuk minta maaf dan tinggalkan duit poketnya sebagai tip

Kadang kala, kita menjadi terlalu ‘tamak’ dengan memesan pelbagai jenis makanan terutamanya ketika kita lapar atau berpuasa. Penyudahnya, hanya sedikit sahaja kita makan bukan?

Membazir sahaja. Pada 17 Julai lalu, seorang pelajar di Singapura telah meninggalkan nota untuk restoran yang menjadi lokasinya mengisi perut.

Menerusi nota tersebut, pelajar terbabit meminta maaf kerana tidak berjaya menghabiskan makanan yang dipesannya.

Chef Kang’s Prawn Noodle House/Facebook [1]

Bahkan pelajar tersebut turut meninggalkan tip berjumlah $2 (RM6.16) untuk restoran terbabit. Menurut sumber, pelajar tersebut masih lagi kelihatan seperti kanak-kanak dan memakai uniform sekolah.

Menurut wakil restoran terbabit iaitu, Chef Kang’ Prawn Noodle House, kanak-kanak perempuan berkenaan memasuki restoran itu pada 17 Julai lalu bersama ibu dan kakaknya.

Ibu dan kakaknya difahamkan telah memesan mi udang manakala budak terbabit pula memesan hidangan nasi, yang akhirnya tidak mampu dihabiskan olehnya.

Sejurus sahaja mahu membayar dan keluar daripada restoran itu, kanak-kanak tersebut memberikan wang pada kaunter juruwang lalu berlalu pergi.

“Hai, saya memang sukakan hidangan udang dan tulang rusuk. Maaf saya tak dapat habiskan nasi. Saya terpaksa pergi sebelum sempat menghabiskannya. Saya juga tidak terlalu lapar sebenarnya”.

“Hidangan tersebut memang banyak dan ia sememangnya berbaloi. Jumpa lagi!”, tulis nota berkenaan.

“Saya rasa malu kerana membazirkan makanan. Saya ada tinggalkan tip. Maaf jumlahnya tak banyak tapi ia merupakan duit poket saya pada hari ini”, akhiri nota tersebut.

Tingkah laku gadis itu menyentuh kakitangan restoran itu, yang menyatakan bahawa perniagaan mereka telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kami sangat menghargai tindakan sebegini dan dorongan daripada nota ini sangat memberi kesan kepada kakitangan kami”, tulis restoran itu pada laman rasmi Facebook mereka.

Chef Kang’s Prawn Noodle House/Facebook [1]

“Kami terus bekerja keras untuk menempuh masa yang sukar ini dengan meningkatkan mutu makanan dan perkhidmatan kami. Catatan ini membuat kami merasa bahawa usaha kami sangat berharga”.

Restoran itu juga telah mengundang mereka sekeluarga bersama gurunya untuk kembali menikmati makanan di restoran berkenaan secara percuma sebagai tanda penghargaan.

Sikap sebegini seharusnya dijadikan contoh buat kita semua. Minta maaf jika rasa tindakan kita telah menyinggungkan orang lain. Pasti ibu bapa dan guru budak ini begitu bangga dengan tindakannya bukan?

loading...