Zhejiang – Seorang wanita bertindak menyaman sebuah syarikat pengurusan hartanah, stesen televisyen Ningbo Film and Televisyen dan platform penyiaran atas talian iQiyi atas tindakan mereka yang menggunakan rumahnya untuk melakukan penggambaran tanpa sebarang kebenaran.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Lin itu, dia telah membeli rumah banglo yang terletak di Cixi itu pada tahun 2015. Rumah setinggi empat tingkat tersebut dikatakan berkeluasan sekitar 800 meter persegi dilengkapi dengan ruangan simpanan wain dan bilik harta karun sebesar 200 meter persegi.

Bagaimanapun, Lin enggan tinggal lama di rumah tersebut dan memutuskan untuk menyerahkan kunci kepada syarikat pengurusan hartanah bertujuan untuk memastikan pencahayaan dan penyelenggaraan rumah dijaga dengan baik. Selepas daripada itu, Lin tidak lagi pulang ke rumah tersebut.

Sin Chew

Segalanya terbongkar apabila Lin menonton sebuah drama bersiri yang ditayangkan pada September 2019 dan terkejut apabila melihat suasana latar belakang tayangan drama itu seolah-olah dilakukan di rumah miliknya.

Pada ketika itulah barulah Lin sedar bahawa telah banyak penggambaran tanpa kebenaran telah dijalankan di rumahnya bermula daripada penghujung tahun 2017 hingga awal tahun 2018.

“Saya membeli rumah ini. Tidak mungkin hiasan di dalam rumah itu boleh sama. Terdapat juga adegan di sekeliling villa dan saya pasti itu adalah rumah saya,” kata Lin.

Berang dengan kejadian yang tidak disangka itu, Lin telah bersemuka dengan kakitangan syarikat pengurusan hartanah yang berkenaan namun tidak berjaya memperoleh respon yang diinginkan.

Lin kemudian kembali ke rumahnya itu dan mendapati rumahnya berada dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Jelas Lin, terdapat banyak kerosakan dan kehilangan barang pada rumahnya seperti lif, skarf sutera mewah, karpet, perabot, lukisan dinding dan meja. 

Sementara itu, penerbit bagi salah sebuah drama yang terlibat dengan penggambaran di rumah Lin menyatakan bahawa kru penggambaran telah menghubungi pekerja hartanah dan pihak pemaju bagi mendapatkan kebenaran sebelum memulakan penggambaran.

Sebuah drama lain yang turut dijalankan di villa berkenaan mendakwa membayar sebanyak RM36,500 kepada pihak syarikat hartanah untuk melakukan penggambaran selama tujuh hari.

Sin Chew

“Pada tahun 2018, saya membayar sebanyak RM39,000 untuk yuran pengurusan. Kami menerima sijil pemilikan dan membayar yuran hartanah setiap tahun. Namun, villa ini digunakan sebagai rumah model. Ini adalah satu tindakan yang melampaui batas tanpa pengetahuan kami,” tegas Lin.

Lin telah bertindak membawa kes berkenaan ke muka pengadilan dan menyaman syarikat hartanah, Ningbo TV, penerbit TV dan iQiyi serta meminta permohonan maaf secara terbuka daripada kesemua defendan.

Lin juga menuntut pampasan di atas segala kerugian yang dianggarkan bernilai mencecah RM1.82 juta atas kehilangan harta dan pelanggaran hak privasi. Bukan sahaja itu, Ningbo Film and Television serta iQiyi juga diarahkan untuk menghentikan siaran drama yang dilakukan di rumah berkenaan. Sehingga kini, kes masih dalam perbicaraan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Aneh GLOBAL INSPIRASI

Video Popular