Susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada 21 Julai menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Tambahnya lagi, pihak kerajaan kini sedang mempertimbangkan keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di Malaysia dan mana-mana pesalah yang melanggar peraturan di bawah Akta 342 ini boleh didenda sehingga RM1,000 atau dipenjarakan.

@KKMPutrajaya/Twitter

“Pihak KKM sangat-sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama di kawasan awam. Jadi di tempat awam, kita harus pakai pelitup muka jika penjarakan sosial susah dijalankan atau (ketika berada di) tempat-tempat (yang) berisiko tinggi,” katanya.

“Pakailah pelitup muka kerana (pelitup muka) boleh memutuskan jangkitan sebanyak 65 peratus. Begitu juga penjarakan sosial, dapat memutuskan jangkitan COVID-19 lebih kurang 65 hingga 70 peratus.

“Dua kaedah ini boleh mencegah kita dari (jangkitan) COVID-19,” tambahnya lagi.

@KKMPutrajaya/Twitter

Disamping itu, Datuk Dr. Noor Hisham juga menegaskan tentang kepentingan pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam kenderaan awam serta di tempat yang sesak. Hal ini kerana tindakan ini dapat mengelakkan penyakit saluran pernafasan tersebar melalui virus seperti COVID-19.

“Pelitup muka boleh digunakan bagi melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.”

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Disamping itu, Datuk Dr. Noor Hisham dalam sidang media yang sama juga sempat memberi garis panduan penggunaan pelitup muka yang sesuai dengan kategori pemakai.

Bagi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai latar belakang penyakit kronik terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, jenis pemakaian pelitup muka yang digalakkan adalah pelitup muka 3 lapis jenis pembedahan (surgical 3 ply mask).

Manakala, seperti syor daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia, individu yang sihat dinasihatkan untuk memakai pelitup muka jenis fabrik 3 lapisan yang terdiri daripada lapisan dalam yang menyerap air, lapisan tengah yang dihasilkan daripada bahan sintetik bersifat hidrofobik yang berupaya untuk menapis titisan cecair serta lapisan luar yang kalis air seperti fabrik poly propylene dan polyester atau campuran keduanya.

Pemakaian pelitup muka ini adalah sangat digalakkan di tempat awam terutamanya kawasan yang sukar untuk mengamalkan penjarakan sosial.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular