Duta Besar China ke United Kingdom memberikan pembelaan tegas dan penuh keberanian terhadap rekod hak asasi manusia di negaranya dalam rancangan wawancara BBC bersama Andrew Marr pada 19 Julai, dengan menegaskan bahawa etnik minoriti Uyghur di Xinjiang ‘hidup berdampingan dengan aman damai dan harmoni bersama etnik lain’. 

Duta Besar Liu Xiaoming membantah keras dakwaan penganiayaan terhadap etnik Uyghur ketika beliau diajukan persoalan selepas melihat rakaman barisan ratusan tahanan yang digari dan ditutup matanya untuk dibawa ke dalam kereta api ke satu lokasi lain di Xinjiang.

BBC News/Facebook

Ketika Setiausaha Luar Negara United Kingdom, Dominic Raab bersiap sedia untuk memberikan kenyataan mengenai Hong Kong pada 20 Julai, di mana beliau akan menangguhkan ekstradisi warga wilayah itu, Duta Liu Xiaoming dengan tegas menolak dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan etnik dan agama tertentu oleh Beijing.

Kumpulan hak asasi manusia dan negara barat mendakwa terdapat serangan sistematik terhadap jutaan minoriti Muslim Uyghur di wilayah barat China, termasuk pensterilan secara paksa dan penahanan di kem ‘pendidikan semula’, dan China mendakwa ia adalah laporan palsu.

Rakaman dron yang dipertontonkan kepada Duta Liu menunjukkan beratus-ratus orang yang berpakaian banduan telah ditutup matanya dan digari, yang kelihatan seperti etnik Uyghur dan etnik minoriti lain, dipimpin dari kereta api yang dipercayai sebagai pemindahan tahanan di satu lokasi di Xinjiang pada bulan Ogos tahun lalu.

BBC News/Facebook

Semasa ditunjukkan rakaman itu dalam wawancara bersama Andrew Marr, Duta Liu kelihatan berasa tersinggung dan berkata, “Saya tidak tahu dari mana anda mendapatkan rakaman video ini. Kadang-kadang anda mempunyai pertukaran tahanan, di mana-mana negara.”

Kemudian beliau menjelaskan selepas Andrew Marr mengajukan soalan bertubi-tubi, “Orang Uyghur menikmati kehidupan secara berdampingan dengan aman damai dan harmoni bersama kumpulan etnik lain.”

“Kami memperlakukan setiap etnik secara saksama,” tegasnya.

Rakaman video tersebut yang dimuat naik dalam talian tanpa nama pada tahun lalu, muncul kembali baru-baru ini dan menjadi tular dalam talian di tengah dakwaan serta laporan pensterilan secara paksa dan penganiayaan lain terhadap tahanan Uyghur. 

BBC News/Facebook

Komunis China telah diajukan dengan serangan pelbagai persoalan mengenai hak asasi manusia berikutan penahanan secara besar-besaran terhadap tahanan di Xinjiang baik dalam sistem penjara yang formal dan juga kem tahanan yang berfungsi sebagai penjara de facto, yang menurut Beijing kesemua kem itu hanyalah pusat latihan vokasional.

Selain rakaman dron tersebut, Liu telah ditanya dalam wawancara itu tentang rakaman seorang wanita yang mendakwa bahawa dia telah menjalani pensterilan secara paksa. Liu membalas dengan menyalahkan laporan tersebut sebagai ‘beberapa kumpulan kecil dengan unsur anti-China’.

“Tidak ada apa yang dikata pensterilan secara paksa, secara besar-besaran di kalangan wanita Uyghur di China. Saya tidak dapat menolak hanya satu kes. Dalam mana-mana negara, mungkin terdapat satu kes,” jelas Duta Liu yang menafikan dakwaan tersebut.

BBC News/Facebook

Duta Besar Liu Xiaoming juga turut mempertahankan undang-undang keselamatan nasional yang baru sahaja disahkan di Hong Kong, yang diwujudkan bagi memberi kemudahan dan mengesahkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan menurut undang-undang.

Beliau berkata ia bagi memastikan keselamatan nasional adalah tanggungjawab setiap kerajaan, dan Beijing terpaksa bertindak kerana undang-undang Hong Kong ‘gagal dikekang, dan ia untuk menahan kekerasan, keganasan, kehancuran.’

Rekod hak asasi manusia Komunis China di Xinjiang terus menimbulkan kecaman antarabangsa. Pada awal bulan Julai, Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap 4 pegawai Komunis China sebagai tanda protes ekoran penganiayaan pemerintah Komunis China terhadap etnik minoriti Muslim Uyghur dan kumpulan minoriti lain, termasuk Kazakh.

Tonton video di bawah:

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL VIDEO

Video Popular