Peranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia kini mendapat pengiktirafan dunia apabila World Brands Foundation (TWBF) mengurniakan Anugerah BrandLaureate – Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020 kepada beliau dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 17 Julai, The BrandLaureate berkata penghargaan anugerah ‘The Brandlaureate Outstanding Brand Leadership’ adalah sebagai pengiktirafan atas peranan gagah berani Dr Noor Hisham bersama pasukan petugas barisan hadapan Malaysia dalam memerangi COVID-19.

Dr Noor Hisham menerima pengiktirafan itu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pada jam 2.30 petang 17 Julai, di mana majlis tersebut dihadiri Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan pemimpin organisasi itu.

“Sejak kes pandemik COVID-19 terus meningkat di Malaysia pada bulan Mac 2020, komitmen Dr Noor Hisham dalam memerangi wabak itu telah memberi harapan dan pemulihan kepada rakyat Malaysia,” kata Pengerusi The BrandLaureate, Tan Sri Rainer Althoff.

Memperakui kepemimpinan Ketua Pengarah Kesihatan itu, The BrandLaureate berkata Malaysia telah berjaya meratakan lengkung dan kini dilihat sebagai juara dalam membendung pandemik COVID-19 di mata dunia.

Sementara itu, KKM menerima Anugerah BrandLaureate – Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan  kerana menjadi ‘Penyedia Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Cemerlang’ sebagai pengiktirafan dan menghormati peranan pasukan petugas barisan hadapan yang cemerlang memberikan bantuan terbaik yang diperlukan kepada para pesakit.

“Selama pandemik ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pasukan barisan hadapannya secara cemerlang dapat memberikan bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada pesakit dan penjaga,” menurut kenyataan itu.

“Dedikasi dan komitmen mereka telah memungkinkan rawatan dan pemulihan terbaik dapat diberikan bagi semua orang yang dijangkiti COVID-19. Tanpa pengorbanan dan kegigihan pasukan barisan hadapan, Malaysia tidak akan dapat meratakan lengkungan dan mengurangkan jumlah jangkitan dan kematian,” katanya.

Peranan KKM dan petugas barisan hadapan sudah semestinya kita sedia maklum telah terbukti amat mengagumkan dalam memberikan keselesaan dan keselamatan tahap tertinggi kepada mereka yang terjejas juga kepada rakyat Malaysia, yang berada dalam bahaya dan risiko dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam laman Facebook miliknya berkata beliau dengan rendah diri menerima anugerah berkenaan yang mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan, dan ketahanan setiap petugas kesihatan sebagai pasukan barisan hadapan di KKM serta komitmen pelbagai agensi dalam menyalurkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik untuk rakyat dan negara.

“Belum pernah kita melihat seluruh jentera kerajaan dan masyarakat bekerjasama dengan lancar demi kesihatan awam, sehingga menjadikan slogan ‘setiap sektor adalah sektor kesihatan’ menjadi realiti yang kini dicontohi oleh pihak lain,” kata Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan dan pihak berkuasa sepanjang berada dalam tempoh yang sukar ini.

“Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga masyarakat kita, kita jaga negara kita,” tulis Dr Noor Hisham dalam postingnya selepas majlis tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular