Seorang pemuda dari United Kingdom tidak menyangka buku klasik terpakai bertajuk ‘The Hobbit’ edisi pertama yang dibelinya secara suka-suka dengan harga £1 (RM5), memiliki nilai yang berkali ganda tinggi mencecah £16,000 (RM85,000).

Pekerja amal bernama Andy Hewson menceritakan kepada The Guardian bagaimana dia mendapat buku itu di sebuah kedai buku amal untuk perlindungan haiwan berdekatan dengan pejabatnya. Suatu hari pada tahun 2012, ketika waktu makan tengah hari, Andy telah ke kedai buku amal itu untuk melihat-lihat buku yang boleh dibacanya.

Andy berbual dengan pemiliknya seperti biasa dan secara kebetulan dia telah bertemu dengan pasangan yang suka menderma ratusan buku di kedai itu.

Unsplash / Gambar Hiasan

Sambil melihat-lihat secara sekilas pandang, Andy tertarik untuk mencapai satu buku lama bertajuk ‘The Hobbit’ hasil karya pengarang J.R.R Tolkien. Sebelum ini dia membeli buku yang sama tetapi telah kehilangannya. 

Oleh kerana semua harga buku dan majalah di kedai itu hanya dijual dengan harga £1 (RM5), maka Andy terus membelinya.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, Andy membaca buku itu di dalam kereta api bawah tanah. Suatu hari, rakan Andy terserempak dia sedang membaca buku itu dan bertanya, “Buku anda kelihatan sangat tua, tidak pernah terfikirkah untuk memeriksa nilainya?”

Andy kemudian mendengar nasihat rakannya dan mula membuat penyelidikan di internet. Dia menyedari buku yang dibelinya adalah edisi pertama ‘The Hobbit’ yang diterbitkan pada tahun 1937 dan jumlah keluarannya hanya 1,500 naskah yang berada di seluruh dunia.

Gambar Hiasan

Apa yang membuat edisi ini begitu istimewa ialah ia mempunyai kesalahan tipografi kecil. Kulit buku itu turut meletakkan nota kecil dengan nama pengarang ‘Alice in Wonderland’, Charles Lutwidge Dodgson atau nama penanya, Lewis Carroll yang disalah eja dan dicetak sebagai Dodgeson. Akhirnya, penerbit buku terpaksa mengaburkan huruf ‘e’ ke atas 1,500 naskah itu secara manual sebelum diedarkan.

Selepas melihat sampelnya di internet, Andy telah memeriksa buku edisi pertama tahun 1937 yang dibelinya dan mendapati bahawa buku itu turut mempunyai tanda huruf ‘e’ yang dikaburkan dalam perkataan ‘Dodgeson’ yang disalah cetak.

Selepas menyedari buku miliknya itu merupakan koleksi yang sangat berharga, maka dia telah menyimpannya dengan baik dan menunggu masa yang sesuai untuk dijual.

Empat bulan kemudian, filem ‘The Hobbit’ telah ditayangkan di seluruh dunia, dan buku tersebut menjadi item berharga buat pencinta dan pengumpul karya J.R.R Tolkien, menjadi masa yang sangat sesuai untuk buku itu dilelong. 

Andy berkata pada mulanya dia hanya ingat buku itu akan terjual dengan harga £500 (RM2,700) memandangkan dia hanya membelanjakan £1 untuknya dan itu sudah cukup dikira beruntung.

Namun tanpa disangka, lelongan buku itu telah dimulakan dengan nilai £3,000 (RM16,000) yang kemudian menerima bidaan dengan transaksi terakhir mencecah nilai £16,000 (RM85,638).

Pemuda berusia 28 tahun itu kini berasa amat bertuah dan gembira menerima rezeki terpijak tidak disangka dan berkata dia akan menggunakan wang yang diterimanya itu untuk mengadakan pameran fotografi yang selama ini menjadi idamannya, dan menyimpan baki selebihnya untuk bayaran pendahuluan pembelian rumah baru.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular