Bekerja sebagai pemandu teksi pastinya mempunyai cabarannya yang tersendiri. Pemandu teksi perlu bijak mencari lokasi yang mempunyai ramai pelanggan yang berpotensi.

Bagaimanapun, seorang pemandu teksi yang telah berkhidmat sejak tahun 2016, P. Raveendran, nampaknya mempunyai niat yang murni disamping mencari rezeki yang halal.

 

Sejak bulan Februari lalu, Raveendran telah memulakan satu inisiatif penawaran khidmat teksi percuma untuk wanita hamil atau ibu yang membawa anak kecil. Inisiatif yang luar biasa ini menurutnya adalah inspirasi daripada filem Tamil yang ditayangkan pada tahun 1995.

“Semasa kecil, saya masih ingat menonton filem Baasha yang dibintangi Rajinikanth sebagai pemandu teksi roda tiga automatik.

“Saya menikmati filem penuh aksi, tetapi satu perkara menonjol ialah pelekat di belakang teksi itu yang mengiklankan perjalanan percuma untuk wanita yang hampir bersalin.

“Saya mula berfikir dan ingin melakukan perkara yang sama suatu hari nanti,” katanya.

IMDb

Tambahnya, selepas Raveendran dan isterinya pergi melancong ke India pada Disember 2018, dia mendapati bahawa kebanyakan kenderaan di negara itu turut mempunyai pelekat yang hampir serupa, dengan menawarkan perkhidmatan percuma untuk wanita hamil.

Justeru itu, apabila pulang ke Malaysia, Raveendran tanpa berfikir panjang terus melakukan perkara yang sama.

“Ini adalah sumbangan saya kepada masyarakat,” katanya.

 

Bagaimanapun, Raveendran turut mengakui bahawa mata pencariannya itu agak terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai bulan Mac lalu. Tetapi, hal itu sedikit pun tidak menghalangnya daripada meneruskan niat baiknya.

“Hidup ini bukan soal wang. Walaupun perniagaan perlahan semasa PKP,” ulasnya.

Tidak cukup dengan itu, Raveendran juga dilaporkan turut melakukan pusingan sebanyak tiga kali seminggu ke unit bersalin di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menawarkan perkhidmatan percuma bagi mana-mana wanita hamil yang memerlukan pengangkutan.

Sememangnya, niat dan inisiatif yang mulia daripada Raveendran ini selayaknya menerima pujian ramai. Semoga dengan langkah luar biasa yang dilaksanakan ini, perniagaan Raveendran semakin maju.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular