Membersihkan udang segar bukan untuk mereka yang berhati lemah. Krustasea yang sederhana ini adalah salah satu bahan serba boleh dalam pelbagai masakan, tetapi bahagian luarnya yang runcing menjadikannya kadangkala sukar untuk disiapkan.

Seorang lelaki malang dari Singapura dilaporkan kehilangan sebahagian jari telunjuknya hanya sehari selepas dia ditusuk udang segar.

Syukurlah, lelaki ini segera dirujuk ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan sebuah hospital atau jika tidak, dia mungkin kehilangan nyawanya.

Pixabay/Gambar Hiasan

Pada 9 Julai, rakan mangsa telah memuat naik kisah lelaki ini di Facebook untuk berkongsi insiden malang tersebut.

Menurut catatannya, mangsa telah ditusuk oleh udang segar ketika dia sedang mencuci dan merapikannya sebelum jari telunjuk kanannya ditusuk bahagian tajam udang itu. Dia yang pernah tertusuk udang sebelum ini menganggapnya sebagai perkara biasa dan berasa dirinya tidak apa-apa.

Malangnya sehari kemudian, lelaki ini kemudian mendapati jarinya itu bertukar bengkak kehitaman dan dia mula mengalami demam ringan. Ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Toa Payoh, doktornya telah segera merujuk lelaki ini ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital berdekatan.

Lelaki ini terpaksa menjalani pembedahan dengan sebahagian jari telunjuknya terpaksa dipotong dan dibuang.

Facebook

Nasib baik, dia segera dirawat dan menjalani pembedahan kerana doktor kemudian memberitahu bahawa lelaki ini mungkin akan kehilangan nyawanya jika dia menunggu lebih lama untuk berjumpa doktor dan tidak mendapatkan rawatan.

Menurut catatan itu, mangsa dimasukkan ke hospital selama seminggu dan menghabiskan masa 2 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian jari telunjuknya.

Doktor memberitahu lelaki ini bahawa dia telah diserang sejenis ‘bakteria pemakan daging’ dikenali ‘Necrotizing fasciitis’ yang dapat menjangkiti seseorang melalui kulit luka atau terdedah, yang mana dalam keadaan ini penyebabnya adalah udang. 

Doktor menjelaskan bahawa bakteria itu mampu menular dengan cepat sehingga sejauh ke ketiaknya, dan menyusup ke seluruh bahagian tubuhnya yang lain.

Walaupun rakan lelaki itu tidak berkongsi sumber atau punca asal bakteria tersebut, mangsa menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membersihkan makanan laut mentah dan memberi peringatan kepada rakan serta keluarga mengenai perkara yang boleh membahayakan ini.

Katanya, berhati-hati semasa mengendalikan makanan laut mentah seperti udang.

Pixabay/Gambar Hiasan

Walaupun kejadian itu hanya berdasarkan perkongsian netizen, namun ia bukan perkara pertama kali yang baru kita dengari. Terdapat beberapa insiden jangkitan bakteria ketika membersihkan udang dan makanan laut sehingga ada kes yang membawa maut.

Diharap orang ramai berhati-hati ketika mengendali dan membersihkan makanan laut seperti memakai sarung tangan tebal, serta menggunakan alatan bersesuaian seperti gunting dan pisau dengan cara yang betul.

Segera mendapatkan bantuan perubatan sekiranya anda berasa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam badan setelah ditusuk udang segar atau sengatan berbisa makanan laut lain.

Apa yang penting, lelaki ini benar-benar bernasib baik kerana telah mendapatkan bantuan perubatan tepat pada waktunya, atau sesuatu lebih parah mungkin berlaku seperti kehilangan nyawanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular