Menyebut tentang ikan paus, pasti ramai yang berasa gerun apabila membayangkan saiznya yang besar. Namun, hidupan laut ini sentiasa diburu disebabkan oleh daging, minyak hati, sirip, kulit dan insangnya.

Sekiranya anda berada dalam situasi tertentu misalnya anda melihat seekor ikan paus terperangkap di dalam pukat, sanggupkah anda untuk turun ke laut dan membantu membebaskan ikan paus tersebut?

Seorang nelayan di Kedah membuktikan keberanian dan kesanggupannya untuk menyelamatkan seekor ikan paus yu yang terperangkap di perairan Pulau Bunting.

Menerusi video di Facebook, seorang nelayan dilihat masuk ke dalam air dan dengan beraninya menyentuh hidupan laut gergasi itu dalam usaha untuk membebaskannya daripada pukat.

Jabatan Perikanan Malaysia/Facebook

Kejadian yang berlaku pada 6 Julai lalu turut menunjukkan beberapa nelayan lain yang berada di atas bot memberikan arahan kepada nelayan berkenaan untuk mengeluarkan pukat itu dengan betul.

Setelah beberapa kali percubaan, ikan paus yu ini berjaya keluar dari pukat berkenaan dan terus berenang dengan aman atas tindakan murni daripada para nelayan yang membantunya.

Menurut Pegawai Penyelidik Perikanan (Ketua Pasukan Penyelamat Kedamparan Spesies Marin Terancam) Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang (FRI) Rantau Abang iaitu Mohd Tamimi Ali Ahmad memuji tindakan nelayan ini dan menyatakan bahawa ianya perlu dilakukan memandangkan ikan paus yu merupakan spesies ikan terancam.

Jabatan Perikanan Malaysia/Facebook

“Ini menjadi bukti bahawa usaha Jabatan Perikanan Malaysia dalam mendidik nelayan mengasihi dan mencintai spesies marin yang terancam serta hampir pupus”.

Berdasarkan data yang dikumpul setiap tahun, ikan paus yu sering muncul di perairan Kedah memandangkan kawasan berkenaan mempunyai sumber makanan yang tinggi seperti ikan bilis, anak ikan pelagik, udang baring dan juga plankton.

Jabatan Perikanan Malaysia/Facebook

Mengikut Akta Perikanan 1985, mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja melanggar Peraturan-peraturan Perikanan (pengawalan spesies ikan terancam) 1999 (pindaan 2019) akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Antara larangan yang ditetapkan adalah memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut mana-mana bahagiannya kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Lihat paparan video di bawah:

Jabatan Perikanan Malaysia/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular