Hidup tidak selalunya indah, itulah lumrah kehidupan. Menyedari akan hakikat itu, seorang wanita di laman Facebook memutuskan untuk berkongsi satu situasi yang melanda sebuah keluarga di Ampang.

Pengguna terbabit, Kitty Goh merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu keluarga itu memandangkan mereka tinggal di ruang meletakkan sampah di Ampang, Selangor.

Kitty Goh/Facebook

Menerusi perkongsian Kitty, jelas kelihatan baju yang digantung keluarga tersebut di luar ruang sampah, sementara beberapa helai baju juga dihamparkan pada lantai untuk membolehkan mereka tidur di atasnya.

Difahamkan bahawa keluarga tersebut telah menghuni ruang kecil yang sepatutnya diletakkan sampah itu setelah ketua keluarga mereka ditangkap ekoran tuduhan mencuri motosikal.

“Saya tahu ramai yang mengalami kesusahan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi saya langsung tidak dapat membayangkan seseorang tinggal dalam keadaan yang begitu teruk”, luah Kitty.

Kitty Goh/Facebook

Kitty difahamkan telah melalui kawasan itu pada 6 Julai lalu dan terlihat seorang wanita bersama dua anak – seorang sekitar 2 tahun dan seorang lagi sekitar 13 tahun. Mereka tinggal di ruang bersebelahan tempat pembuangan sampah di lorong.

Suami wanita berkenaan didapati bersalah atas kesalahan mencuri motosikal dan dipenjara, meninggalkan isteri dan dua orang anaknya sehelai sepinggang tanpa tempat tinggal.

Kitty pada keesokan harinya sekali lagi pergi ke kawasan itu untuk melihat sama ada mereka masih lagi berada di sana.

Kitty Goh/Facebook

“Hari ini (7 Julai), saya sengaja ke sana untuk melihat sama ada mereka masih lagi di situ. Saya dapat lihat ibu dan anak kecilnya itu sedang tidur di dalam ruang tersebut”.

Berasa simpati, Kitty bergegas ke kedai serbaneka berdekatan untuk membeli makanan kering sebanyak dan semampunya untuk diberikan kepada mereka.

“Saya juga ada memberikan sedikit wang pada ibu itu, sekiranya berlaku kecemasan”, jelas Kitty. Difahamkan juga bahawa anak lelaki sulungnya juga telah pergi ke sekolah pada ketika itu.

Kitty Goh/Facebook

Ketika ditanya, Kitty juga menjelaskan bahawa keluarga berkenaan telah diusir daripada rumah kebajikan kerana terdapat beberapa masalah dengan individu yang bertugas di sana.

Alasan disebalik pengusiran secara tiba-tiba berkenaan masih lagi tidak jelas namun Kitty percaya bahawa ibu tersebut dieksploitasi dan tiada yang menganggap keadaannya serius.

“Kita selalu beri sumbangan pada rumah anak yatim dan organisasi kebajikan dan kadang kala mengabaikan individu di kawasan kejiranan yang sangat memerlukan bantuan”, tambah Kitty.

Kitty Goh/Facebook

Anda yang berada berhampiran bolehlah menghulurkan sumbangan semampu dan seiklasnya. Keluarga itu boleh ditemukan di Jalan Bukit Permai Utama 2, Taman Industri Bukit Permai, Ampang.

Dalam pada itu, Kitty juga meminta penduduk di Ampang untuk membantu mereka dan mungkin boleh menguar-uarkan tentang keluarga itu sehingga ia mendapat perhatian daripada pihak NGO.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular