Semasa Revolusi Kebudayaan, segala yang berkaitan dengan agama ditekan sebagai salah satu daripada prinsip pembasmian yang digelar ‘Four Olds’ atau ‘Empat yang Lama’ iaitu adat istiadat lama, budaya lama, kebiasaan lama dan idea lama. 

Para ahli agama seperti sami dan biarawati dipaksa untuk meninggalkan agama dan kembali kepada kehidupan sekular dengan patung dan simbol keagamaan dimusnahkan serta perniagaan dengan nama agama diperintah supaya diubah. 

Sejak dua tahun kebelakangan, tindakan keras Parti Komunis China (PKC) terhadap agama mengingatkan generasi tua di China mengenai penindasan yang dilakukan semasa pemerintahan pengasas Parti Komunis China, Mao Zedong.

Pendeta Tao dipaksa memotong rambut bersanggul yang menjadi amalan tradisi.

Wang Zhao/AFP via Getty Images

Pendeta Tao dari Xi’an di wilayah barat laut Shaanxi tidak lagi dibenarkan menyimpan sanggul rambut yang secara tradisional diamalkan oleh pendeta dan mahaguru berpegangan ajaran Tao. 

Gaya rambut itu disindir dengan gelaran menghina ‘hidung lembu’ kerana ia menyerupai hidung lembu. Golongan lebih tua di bandar itu mengatakan bahawa pegawai kerajaan tempatan mula memaksa semua pendeta Tao yang tidak mempunyai sijil kelayakan yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk memotong sanggul rambut mereka.

Semakin ramai sami Buddha dan pendeta Tao di seluruh China diusir dari kuil dan biara serta dipaksa kembali kepada kehidupan sekular.

Unsplash/Gambar Hiasan

Seorang pendeta Tao dari daerah Baofeng di bandar Pingdingshan, wilayah Henan memberitahu pada bulan April tahun lalu, para pegawai diarahkan untuk menutup kuil Tao di mana dia tinggal. 

Mereka mendakwa bahawa kuil itu telah ‘didirikan secara haram dan kegiatan keagamaan dilakukan tanpa izin’. Pendeta itu disuruh menanggalkan jubah tradisionalnya, memotong rambut dan meninggalkan kuil untuk kembali kepada kehidupan sekular. Dia telah menjadi pendeta Tao sepanjang hidupnya dan tidak mempunyai tempat tinggal selain di kuil itu.

Papan tanda sekolah seni mempertahankan diri kuno ditukar nama.

Getty Images

Menurut seorang pegawai kerajaan dari bandar Dengfeng di Henan, sepasukan pemeriksa agama pusat menuntut untuk mensekularkan semua sekolah seni mempertahankan diri yang berada dalam bidang kuasa kerajaan pada tahun lalu. 

Akibatnya, lebih 20 buah sekolah terpaksa membuag semua perkataan berkaitan agama daripada nama mereka dan semua pelajar terpaksa menukar pakaian tradisi Buddha mereka dengan pakaian sukan.

Kuil Shaolin terkenal dengan ajaran seni mempertahankan diri yang mempopularkan pembelajaran seni mempertahankan diri kung fu di seluruh China dan dunia kerana rangkaian video yang berkaitan dengan Kuil Shaolin. 

Kerana popularitinya, banyak sekolah seni mempertahankan diri ditubuhkan termasuk Kuil Shaolin dengan menggunakan nama ini. Setelah peraturan baru mengenai urusan agama berkuat kuasa pada tahun 2018, sekolah-sekolah ini terpaksa menukar nama.

Unsplash/Gambar Hiasan

Pusat Latihan Wira Sami Kuil Shaolin Songshan di Dengfeng diwajibkan mengubah nama kepada Sekolah Seni Bela Diri Shaolin Yanlu. 

“Perubahan nama sekolah adalah langkah strategik sekolah kami setelah menilai situasinya,” kata pemberitahuan yang dikeluarkan oleh pengurusan sekolah yang berjanji untuk ‘menerapkan secara komprehensif semua langkah untuk mencegah agama menyusup masuk ke sekolah’.

“Jurulatih memberitahu kami untuk tidak memakai manik-manik Buddha, anting-anting atau kalung dan jangan menggunakan kata-kata seperti Tuhan, Buddha, kuil, sami dan lain-lain berkaitan agama agar percakapan kami tidak menimbulkan masalah. Ada rakan sekolah saya dihukum secara fizikal kerana pakaiannya bertulis ‘kuil’,” kata seorang pelajar sekolah seni mempertahan diri itu.

Tugu peringatan dan perkuburan bertanda salib dirobohkan.

Greg Baker/AFP via Getty Images

Pada 22 Februari 2019, pegawai kerajaan dari bandar Kongji daerah Ningling di Shangqiu wilayah Henan menggunakan jentolak untuk membuang plak peringatan ke sungai yang didedikasikan buat mendiang Liu Anshan, seorang doktor Kristian tempatan.

Plak itu yang dibina sepuluh tahun lalu oleh para pesakitnya mempunyai salib berwarna merah dalam tulisan Cina bermaksud ‘Tuhan Mengasihi Dunia’ di atasnya. Para pegawai mengatakan bahawa plak itu harus dialihkan kerana ‘simbol agama dipamerkan di tempat awam’.

“Bahkan orang Kristian yang telah meninggal dunia juga tidak terlepas. Ini adalah ulangan Revolusi Kebudayaan,” kata seorang penduduk yang marah.

Pada 29 April tahun ini, sebanyak 176 batu nisan bersalib dirobohkan di tanah perkuburan yang terletak di daerah Xiapu yang berada dalam pentadbiran Ningde, sebuah bandar di wilayah tenggara Fujian. Insiden tersebut telah menarik perhatian media.

Pada hari kejadian, lebih 60 anggota dari balai polis daerah Songgang, Biro Hal Ehwal Sivil, Biro Tanah, Biro Pengurusan Bandar, dan jabatan berkaitan kerajaan lain turut serta dalam kerja merobohkan perkuburan tersebut. 

Tiada notis dikeluarkan sebelum kerja meroboh dilakukan dan keluarga si mati juga tidak diberitahu. Tanah perkuburan yang dikenali sebagai ‘Gunung Suci’ itu merangkumi sejarah lebih daripada 140 tahun. 

Ribuan orang dikebumikan di perkuburan itu dan ramai penganut Kristian yang ingin dikebumikan di sana. Pada bulan Mei, lebih daripada 60 batu kubur ditanda dengan nombor siri, menunjukkan bahawa perkuburan itu akan segera dirobohkan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular