JAKARTA: Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan beku di atas kapal nelayan China yang ditahan. Menurut pihak berkuasa lagi, mereka mengesyaki terdapat perbuatan khianat yang telah membawa kepada kematian tersebut.

Polis Indonesia mengatakan mereka memintas dua buah kapal di Selat Melaka minggu ini setelah mendapat maklumat bahawa terdapat seorang anak kapal yang telah mati di dalam salah sebuah kapal.

Gambar Hiasan/VisualHunt

Pemuda berusia 20 tahun itu mungkin diseksa dan tubuhnya disimpan di dalam peti sejuk Lu Huang Yuan Yu 117 sejak akhir Jun lalu, beritahu jurucakap polis wilayah Riau, Harry Golden Hart.

“Mangsa mengalami kecederaan fizikal, tetapi kami sedang menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian,” katanya kepada AFP.

Puluhan anak kapal yang berasal dari China, Indonesia dan Filipina disoal siasat berhubung dengan kematian lelaki tersebut.

Pakar anti pemerdagangan manusia mengatakan bahawa amalan buruh paksa telah diamalkan secara meluas dalam industri perikanan dan pekerja yang dieksploitasi berhadapan dengan masalah` pembayaran, kerja berlebihan, keganasan dan kematian.

Indonesia dan Asia Tenggara adalah sumber utama bagi mendapatkan bekalan buruh nelayan dan broker yang tidak bertanggungjawab menggunakan golongan miskin dan mereka yang tidak berpendidikan untuk tujuan ini. Mereka juga ditaburkan dengan janji-janji manis yang mengatakan bahawa gaji bekerja di atas kapal adalah bagus.

Pada bulan Jun lalu, dua orang anak kapal Indonesia dilaporkan telah melompat keluar dari kapal China untuk melarikan diri daripada penderaan dan keganasan yang mereka alami.

Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan Indonesia dan pada hari Khamis lalu polis mengatakan bahawa mereka telah menangkap sembilan orang atas berhubung dengan dakwaan tersebut.

Sebulan sebelumnya, sebuah laporan diterima mengenai tiga mayat anak kapal Indonesia yang dilemparkan ke dalam laut dari sebuah kapal yang mengibarkan bendera China.

Jakarta kemudian mengatakan bahawa mereka diberitahu bahawa mereka yang meninggal dunia adalah kerana sakit, sementara Beijing pula berpendapat bahawa penguburan mayat ke dalam laut adalah selari dengan undang-undang antarabangsa.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular