DAR ES SALAAM – Seorang pelombong kecil di Tanzania bergelar jutawan secara sekelip mata selepas menemui dua biji batu permata tanzanite terbesar di negara itu dan menjualnya kepada kerajaan.

FILBERT RWEYEMAMU/AFP via Getty Images

Saniniu Kuryan Laizer, 52 tahun dilaporkan menemui batu berkenaan seberat 9.27 kilogram (kg) dan 5.1 kg di utara Bukit Mirerani. Ia merupakan sebuah kawasan yang dipagar oleh Presiden John Magufuli pada tahun 2018 bagi membanteras aktiviti penyeludupan permata.

Pertama kali tanzanite ditemui adalah di kaki bukit Kalimanjaro sekitar tahun 1967 serta wilayah utara Tanzania, Manyara. Batu tanzanite ini juga dipercayai tidak wujud di mana-mana tempat lain di dunia, sekali gus menjadi dambaan para wanita untuk dijadikan perhiasan.

Ibarat bulan jatuh ke riba, Laizer telah menjual batu berwarna ungu kebiruan itu kepada kerajaan pada harga RM14.1 juta. Malah, dalam sebuah majlis yang diadakan untuk meraikan penemuan itu di Manyara, Menteri Perlombangan iaitu Dotto Biteko, memaklumkan bahawa penemuan ini merupakan batu paling besar yang pernah ditemui di negara itu.

FILBERT RWEYEMAMU/AFP via Getty Images

“Laizer kini seorang jutawan dan kita akan pastikan beliau selamat. Kita sekarang ini beralih dari keadaan di mana pelombong kecil yang sebelum ini menyeludup tanzanite, kini mengikuti prosedur dan membayar cukai kerajaan serta royalti,” katanya.

Sementara itu menurut Laizer, beliau akan memanfaatkan wang keuntungan yang diperoleh hasil penjualan tanzanite itu bagi aktiviti pembangunan masyarakat setempat.

“Saya bercadang untuk membina sebuah pusat membeli-belah di Arusha dan sebuah sekolah berdekatan rumah saya. Saya berterima kasih kepada tuhan atas apa yang saya kecapi kerana ini kali pertama mendapat saiz sebegini besar”.

Tambah Laizer lagi, “Apabila menjumpainya, saya memaklumkan kepada pegawai kerajaan yang menilai batu berkenaan dan hari ini mereka panggil saya untuk bayaran,” katanya.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter kerajaan, batu berkenaan akan diletakkan di muzium negara bagi tujuan pameran.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GLOBAL INSPIRASI

Video Popular