Dalam kehidupan berumah-tangga, pasti ada cabarannya. Sedikit perbalahan dan salah faham antara suami isteri bukanlah suatu perkara yang asing, malah, setiap pasangan pasti akan melaluinya.

Unsplash

Apatah lagi jika pasangan itu sudah masuk tahun ke-10 perkahwinan, pastinya banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi. Bagaimanapun, seorang isteri baru-baru ini telah berkongsi pengalaman peribadinya sendiri yang dilalui bersama suami tercinta dalam usaha untuk menambahbaik perhubungan.

Menurut kiriman Puan Adlil Rajiah di laman Facebook, dia bersama suaminya pada suatu hari telah bersepakat untuk menyenaraikan kesemua kesalahan masing-masing selepas mereka berbalah sesama sendiri. Tambahnya lagi, senarai kesalahan ini akan dibaca kepada pasangan untuk diketahui dan diperbaiki oleh pasangan di masa hadapan.

Adlil Rajiah/Facebook

Bagaimanapun, selepas Puan Adlil bertungkus-lumus menyenaraikan kesemua kesalahan suaminya dan membacakannya, suami Puan Adlil telah memberikan ‘senarai’ yang sangat mengejutkan buat Puan Adlil.

Kiriman yang dikongsikan adalah seperti yang berikut:

“Jadi baru-baru ini, kami berbalah.
Perbalahan biasa bagi pasangan suami isteri.
Cuma kali ini (perbalahan) yang lebih rumit.

Bila keadaan kembali tenang,
suami ajak duduk berdua untuk semak semula dan ‘betulkan’ hubungan kami..

Iyalah,
Sudah 10 tahun berkahwin, banyak benda telah berubah.
Cinta sudah tidak semekar dahulu.
Eceh geli pula bila bercakap tentang cinta-cinta hahaha.
Tetapi memang benar, semua yang dirasakan seronok semasa di permulaan perkahwinan dahulu, kini semakin hambar.

Sebelum duduk dan berbincang, kami senaraikan semua perkara yang kami masing-masing tidak berpuas hati dan semua perkara yang kami harap pasangan dapat betulkan selepas ini.

Saya pantang diberi tugasan bertulis begini,
tangan terus jadi machine gun.
Nak-nak pula bila disuruh senaraikan kesalahan dan kekurangan suami. Mana cukup satu kertas hahaha astaghfirullahalazim.

Siap senaraikan semuanya,
tibalah masa untuk duduk berbincang dari hati ke hati.

Dia duduk di sebelah saya dengan tenang dan meminta saya untuk membaca semua yang saya tulis.
Saya membacanya satu-persatu.
Muka surat ke muka surat

Dia berikan perhatian 100% dan langsung tidak berkata satu patah perkataanpun.

Usai saya membaca semua, suami saya berkata,
“Papa minta maaf. InsyaAllah papa akan cuba perbaiki semuanya.”

Dan dia diam semula.

“Cepatlah, giliran papa pula untuk luahkan apa yang papa tidak berpuas hati dengan mama selama ini. Apa yang papa mahu mama perbaiki?” Saya memaksa dia membaca senarainya pula.

Dia hanya tersenyum.
Sambil menggeleng, dia berkata, “tiada apa yang papa tidak berpuas hati dengan mama. Semua baik sahaja.”

Saya terus berasa marah, tidak berpuas hati dengan jawapan suami.
“Tipu lah. Takkan tiada apa-apa (kesalahan). Tidak perlulah nak mengambil hati. Cakap sahaja.”

Dia senyum dan menjawab,
“10 tahun papa hidup dengan mama. Pastilah papa tahu semua kekurangan dan keburukan mama. Pastinya papa boleh sebut satu-satu kalau papa mahu. Tetapi papa tidak mahu.”

“Kenapa tidak mahu?”

“Sebab papa masih ingat setiap kebaikan mama. Mama lahirkan anak kita, mama susukan dia, mama jaga dia dengan baik, mama uruskan rumah, mama utamakan keluarga, mama tolong papa cari rezeki. Kalaupun papa tahu 1,000 keburukan mama, papa tidak sanggup mahu senaraikan. Sebab papa masih ingat semua kebaikan mama.”

Saya menangis,
dan kami berpelukan.
Sekian perbincangan dari hati ke hati.
Penat tangan saya menulis panjang-panjang.

Tapi ada 5 perkara yang saya belajar:

  • Sebagai isteri, kita selalu fikir bahawa kitalah yang PALING banyak berkorban dalam perkahwinan. Mungkin betul. Tapi itu tidak melayakkan kita untuk HANYA mengungkit kebaikan dan pengorbanan diri sendiri, dan melupakan kebaikan suami.
  • Semakin lama berkahwin, semakin banyaklah kekurangan masing-masing yang terbongkar, dan semakin banyaklah (rasa) tidak puas hati dalam perhubungan. Dan kita mula lupa (bahawa) pasangan adalah cerminan (diri) kita. Aib dan keburukan kita yang terbuka di mata pasangan, sama sahaja banyaknya.
  • Dikurniakan pasangan yang bukan sahaja sayangkan kita, malah sanggup menutup aib kita walaupun di hadapan mata kita sendiri adalah nikmat Allah yang jarang sekali kita syukuri.
  • Kadang-kala kita sibuk fikir tentang salah pasangan dan tunggu pasangan meminta maaf, sedangkan yang perlu minta maaf dan memaafkan adalah dengan diri kita sendiri.
  • Ada banyak perkara yang kita tidak boleh bina sendiri. Malah pertumbuhan kita sendiri memerlukan tidak balas daripada seseorang, seseorang yang paling rapat, yang nampak keburukan kita, tetapi masih mahukan kita. Perkahwinan bukan hanya cinta, tetapi persahabatan.

Semoga perkongsian malam ini bermanfaat.

Jadi wahai isteri-isteri sekalian,
sudah-sudahlah mengungkit.
Bukan boleh menang Shopee coinpun.

Salam sayang,
Adlil Rajiah.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular