- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

KKM isytihar Kluster Perhimpunan Seri Petaling tamat secara rasmi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan Kluster Perhimpunan Seri Petaling iaitu kluster COVID-19 yang terbesar di Malaysia telah tamat secara rasmi pada 8 Julai 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ini telah dikesan susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac 2020.

@KKMPutrajaya/Twitter [2]

Perhimpunan yang telah berlangsung selama empat hari telah dihadiri seramai 16,000 orang iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara.

Katanya, kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir melibatkan kes ke-131 dan kes ke-136.

Penularan jangkitan COVID-19 melalui kluster ini telah merebak ke seluruh Malaysia dan sehingga 8 Julai 2020, sejumlah 42,023 individu telah disaring dalam kluster ini.

Daripada jumlah ini, 3,375 individu telah dilaporkan positif COVID-19 iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook [3]

Kes-kes bagi kluster dan subkluster di bawahnya telah dikesan di 7 negeri melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 negara.

Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif.

Seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah ini, 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Seramai 3,341 individu telah sembuh, menjadikan kadar peratusan pesakit yang telah sembuh adalah sebanyak 98.96 peratus.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook [4]

Seramai 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster ini yang terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara melibatkan 30 orang lelaki dan 4 orang perempuan.

Syukur dan tahniah rakyat Malaysia, kini tiada lagi kes aktif dalam kluster ini yang telah tamat sepenuhnya.

loading...