- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Lapangan terbang Taiwan tawar penerbangan ‘tidak ke mana’ bagi yang ingin menaiki pesawat, hampir 10,000 orang memohon

Berapa ramai antara anda yang terpaksa menangguhkan rancangan perjalanan antarabangsa pada tahun ini? Rasanya hampir kesemua orang yang mengalami kekecewaan itu memandangkan pandemik Covid-19 masih tidak menunjukkan tanda-tanda kebah.

Maka kebanyakan kita mungkin tidak menjangkakan akan berlepas ke udara menaiki pesawat dalam jangka masa terdekat.

Tambahan ketika pakar industri penerbangan meramalkan bahawa harga tiket penerbangan dijangka terus meningkat sehingga lebih 54 peratus berikutan langkah-langkah baru yang wajib diperkenalkan demi menjaga penjarakan sosial akibat pandemik.

YouTube [1]/Paparan Skrin

Nampaknya dalam usaha untuk menyembuhkan mereka yang teringin benar untuk melakukan perjalanan antarabangsa tahunan melalui udara, sebuah lapangan terbang di Taiwan kini telah menemui jalan keluar dengan idea mereka yang agak aneh untuk memuaskan hati para pelancong yang kempunan merasai suasana berada dalam pesawat.

Baru-baru ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Songshan Taipei di Taiwan telah mengatur penerbangan palsu yang destinasinya adalah lokasi yang dinamakan ‘tidak ke mana’. 

YouTube [1]/Paparan Skrin

Ya, penerbangan ini hanya berada di daratan, dan apa yang perlu dilakukan oleh para pelancong atau penumpang ini ialah menaiki pesawat, duduk dan mengambil gambar, menikmati udara serta suasana di dalam kabin pesawat, dan kemudian berlalu keluar dari pesawat.

Inisiatif yang dilakukan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Songshan Taipei menerusi pertandingan yang diiklankan bagi mereka yang berminat untuk mengambil bahagian, di mana lebih daripada 7,000 orang telah memohon. 

YouTube [1]/Paparan Skrin

Namun begitu, hanya 60 peserta bertuah yang dipilih secara rawak untuk merasai sendiri pengalaman terbang yang unik ini, terutama bagi mereka yang tidak pernah mengalami perasaan menaiki pesawat.

Menurut media dalam liputan mereka, ‘penumpang’ diberi keseluruhan pengalaman berada di lapangan terbang, dengan jadual perjalanan, pas masuk, dan harus melalui pusat pemeriksaan imigresen dan keselamatan seperti perjalanan menaiki pesawat yang sebenar. 

YouTube [1]/Paparan Skrin

Kemudian mereka dibenarkan untuk ‘menaiki’ Airbus A330 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan terbesar Taiwan, China Air.

Dan ini bukan satu-satunya penerbangan palsu yang dirancang kerana lapangan terbang tersebut kini terus berniat untuk mengatur pengalaman yang lebih kurang sama buat para pelancong Taiwan yang tidak dapat menahan rasa gelisah untuk terbang!

loading...