- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Tugu Francis Light disimbah cat merah, pihak polis cari dalang di sebalik kejadian vandalisme tersebut

GEORGETOWN- Tugu lama pengasas ekonomi Georgetown, Francis Light dilaporkan telah dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali baru-baru ini.

Tugu yang didirikan pada tahun 1936 itu dibina sebagai tanda peringatan tokoh ini atas sumbangannya dalam membangunkan Pulau Pinang. Tugu yang terletak di Fort Cornwallis ini merupakan lokasi pelancongan yang terkenal di negeri ini.

Menurut berita oleh New Straits Times, seorang kakitangan yang bekerja di sana telah mengatakan bahawa tugu tersebut telah dirosakkan dengan disimbah cat merah pada Selasa, 30 Jun.

“Saya berada di sini sehingga Isnin, 29 Jun, sekitar jam 7 malam dan semuanya elok sahaja. Kami datang keesokan harinya dan mendapati ia telah disimbah dengan cat merah,” kata kakitangan itu.

@AntifaM3/Twitter [1]

Walaupun tugu tersebut telah dibersihkan, masih ada kotoran berwarna merah yang kelihatan pada binaan tersebut. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula dikatakan tidak jelas membuatkan imej individu yang melakukan perbuatan ini masih tidak dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihak polis menerima laporan daripada pengurus operasi Fort Cornwallis pada jam 8.13 pagi, 30 Jun lalu tentang kejadian tersebut. Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga gagal untuk mengenalpasti pelaku kerana CCTV tidak menjurus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setelah siasatan dijalankan, pihaknya percaya perbuatan itu dilihat sebagai protes dan rasa tidak puas hati terhadap beberapa tokoh warga asing (Eropah) semasa Perang Dunia Pertama kerana mengamalkan sistem penghambaan dan sistem kolonial.

@AntifaM3/Twitter [1]

Tambahnya lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.  Sekiranya disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Kejadian vandalisme tersebut mula tular di internet apabila kejadian tersebut dikongsi oleh seorang pengguna Twitter, @AntifaM3 [1] yang telah memuat naik gambar tugu bercat merah tersebut. Sehingga kini status tersebut telah di ‘retweet‘ lebih daripada 1000 kali oleh pengguna Twitter.

loading...