- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Sesuka hati letak harga durian ikut kereta pelanggan, peniaga durian di Pahang berhadapan dengan kompaun

Seperti yang kita tahu, kepelbagaian jenis buah durian di negara kita ini memungkinkan harga yang berbeza untuk setiap satunya. Harga ditetapkan mengikut jenis dan lazimnya diletakkan oleh si penjual durian itu sendiri.

Oleh kerana ianya tidak tetap, maka pengguna sering menjadi mangsa kerana kadang kala terpaksa membayar harga buah durian dengan agak tinggi.

Gambar Hiasan |  MOHD RASFAN/AFP via Getty Images

Bahkan terdapat juga peniaga durian di tepi jalan yang dikesan meletakkan harga durian mengikut jenis kenderaan yang dipandu oleh mereka. Macam itu pun ada?

Tindakan berkenaan dikatakan mendorong peniaga untuk tidak meletakkan tanda harga walaupun mengetahui bahawa ianya adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, ada peniaga yang dikesan mengambil kesempatan.

Durian yang dijual dikenakan harga yang berbeza mengikut jenis kenderaan pelanggan yang singgah di kedai mereka untuk membeli.

“Harga durian akan naik dua atau tiga kali ganda jika pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah, bertujuan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda”.

Gambar Hiasan

KPDNHEP akan melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian tepi jalan di negeri itu terutamanya di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

Kompaun berjumlah RM1,000 akan dikenakan mengikut Perintah 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 sekiranya peniaga gagal mempamerkan tanda harga.

Kesalahan menggunakan alat timbang tidak ditentusah pula dikenakan kompaun RM,1000 bagi perseorangan dan perkongsian serta RM2,000 untuk syarikat dan perbadanan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1973.

Sebanyak empat peniaga durian telah dikenakan kompaun RM4,000 sebelum ini kerana tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang tidak ditentusah.

Diharapkan agar isu ini mendapat perhatian para peniaga durian di luar sana supaya bersikap lebih jujur dengan pembeli. Jangan ambil kesempatan dan sentiasa pamerkan tanda harga pada durian dengan tepat.

 

loading...