- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Sejarah tercipta, Malaysia catat 0 rekod jangkitan tempatan COVID-19 pada 1 Julai

1 Julai menjadi saksi kejayaan yang dicapai oleh para barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak COVID-19 sejak empat bulan lalu.

Kejayaan itu merupakan pengumuman sifar (0) rekod jangkitan penularan tempatan di Malaysia oleh Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook [1]

Menerusi sidang media COVID-19 yang diadakan pada 1 Julai di Putrajaya, Datuk Dr Noor Hisham bersama pasukannya mengumumkan perkara itu sambil memegang kertas yang tertera tulisan nombor 1, yang merupakan catatan rekod kes baru harian yang melibatkan jangkitan penularan dari luar.

“Hari ini baru kita ada satu kes, iaitu hari yang bersejarah, satu kes dilaporkan, dan kes sifar untuk penularan tempatan ya,” katanya pada sidang media tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook [2]

Jangkitan penularan dari luar itu melibatkan seorang lelaki tempatan yang berusia 21 tahun dan baru pulang dari Turki. Menurutnya, lelaki berkenaan tidak mengalami apa-apa gejala COVID-19 dan kini telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berikutan pencapaian rekod yang membanggakan ini, Datuk Dr Noor Hisham juga sempat merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberi kerjasama dan memainkan peranan masing-masing.

Hal ini juga adalah termasuk rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri setiap masyarakat Malaysia yang mengamalkan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian dan kepatuhan kepada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

loading...