- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Polis Hong Kong membuat 2 penangkapan pertama di bawah undang-undang keselamatan negara

Polis Hong Kong pada 1 Julai telah melakukan dua tangkapan pertama di bawah undang-undang keselamatan negara baharu – yang dikenakan oleh rejim komunis China.

Kedua-dua individu itu – seorang lelaki dan seorang wanita, ditahan kerana memegang bendera pro-kemerdekaan.

Menurut polis Hong Kong, kedua individu terbabit disyaki telah melanggar undang-undang keselamatan rejim China. Mereka tergolong dalam 70 orang yang ditangkap oleh polis pada jam 4 petang.

Insiden itu berlaku kurang daripada 24 jam setelah undang-undang keselamatan nasional Beijing yang berkuatkuasa.

Vincent Yu/AP

Undang-undang itu yang mula dikuatkuasakan pada jam 11 malam 30 Jun lalu menetapkan bahawa pesalah yang didapati terlibat dengan pemisahan, penindasan, keganasan dan bersekongkol dengan musuh akan dipenjarakan seumur hidup.

Pihak polis pada 1 Julai menghadapi ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Causeway Bay dan Wan Chai bersempena 23 tahun bandar itu diserahkan oleh British ke tangan pemerintah China.

Penduduk Hong Kong mula keluar ke jalanan sambil melaungkan ‘tentang sehingga ke akhirnya’ dan ‘kemerdekaan Hong Kong’.

Pihak berkuasa menggunakan penyembur lada dan meriam air untuk meleraikan orang ramai lalu menangkap lebih 70 orang ekoran mengadakan perhimpunan haram, melanggar undang-undang keselamatan, menghalang polis dan memiliki senjata.

@hkpoliceforce/Twitter [4]

Dalam pengumuman di Facebook, Pasukan Polis Hong Kong mengatakan dua daripada individu yang ditangkap disyaki telah melanggar undang-undang keselamatan negara.

Penangkapan pertama adalah seorang lelaki di kejiranan Causeway Bay yang melanggar undang-undang keselamatan negara Beijing dengan memegang bendera yang menuntut kemerdekaan Hong Kong.

“Ini adalah penangkapan pertama yang dibuat sejak undang-undang ini berkuatkuasa”, jelas akaun rasmi polis Hong Kong di Twitter.

@hkpoliceforce/Twitter [9]

Menurut pihak polis, lelaki itu ditangkap setelah polis mengeluarkan banyak peringatan dan amaran kepada orang ramai di kawasan membeli-belah bahawa mereka mungkin melanggar undang-undang.

Seorang wanita kemudiannya pula telah ditangkap di kawasan itu kerana memegang bendera pro-kemerdekaan.

“Anda mempamerkan bendera atau sepanduk, melaungkan slogan, berniat untuk melakukan pemisahan atau penindasan yang merupakan kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara”, tulis pihak polis pada sepanduk.

Mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pemisahan – berteriak atau mengangkat sepanduk atau bendera yang mendesak kemerdekaan, dianggap telah melanggar undang-undang.

Pesalah paling serius dianggap sebagai dalang disebalik ‘jenayah’ itu akan menerima hukuman penjara maksimum seumur hidup.

Manakala pesalah yang melakukan kesalahan yang tidak begitu serius pula akan menerima hukuman penjara sehingga tiga tahun, penahanan jangka pendek ataupun sekatan.

Vincent Yu/AP

Undang-undang berkenaan telah mencetuskan kemarahan antarabangsa dan telah menerima kritikan lebih daripada 27 buah negara, termasuklah daripada Kesatuan Eropah dan Taiwan.

Kegusaran telah dibangkitkan apabila berlaku pelanggaran Undang-Undang Dasar Hong Kong yang menjamin Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik dapat terus berlaku di wilayah berkenaan.

Di bawah Deklarasi Bersama China-British yang menetapkan syarat pemindahan Hong Kong ke pemerintah China, rejim tersebut bersetuju untuk memberikan autonomi dan kebebasan di bawah formula ‘satu negara, dua sistem’.

Sebagai langkah untuk melindungi penduduk Hong Kong, sekumpulan senator Amerika Syarikat (AS) pada 30 Jun memperkenalkan rang undang-undang untuk memberikan status pelarian Keutamaan ke-2 kepada mereka yang memprotes sistem korup Beijing secara aman.

Undang-undang itu dinamakan ‘Hong Kong Safe Harbor Act’ ditaja oleh senator Republikan seperti Marco Rubio dan Todd Young serta wakil Demokrat iaitu Bob Menendez, Ben Cardin serta Jeff Merkley.

Al-Drago-Pool/Getty Images

Berdasarkan undang-undang itu, warga Hong Kong yang memiliki ketakutan terhadap penganiayaan adalah layak bagi proses mendapatkan status pelarian Keutamaan ke-2 di Hong Kong atau negara ketiga.

Undang-undang itu juga mengetepikan maksud imigrasi sebagai faktor dalam pemberian visa bukan imigran. Pelarian dari Hong Kong juga tidak akan dikenakan sebarang had angka.

Hong Kong Safe Harbor Act juga tetap melayakkan warga Hong Kong mendapat status pelarian sebagai mangsa penganiayaan politik sekiranya Beijing merampas tempat tinggal mereka jika mereka memohon status pelarian atau visa AS.

loading...