Banyak persediaan yang perlu dilakukan oleh seseorang itu sebelum memulakan pemanduan jarak jauh, antaranya seperti periksa dahulu keadaan kenderaan selain memastikan diri mendapat rehat yang mencukupi.

Perkara yang paling ditakuti sekiranya keletihan ketika memandu adalah terlelap seketika atau lebih dikenali sebagai ‘microsleep’.

Microsleep ini sebenarnya dapat diringkas kepada keadaan otak seseorang yang tidur tetapi mata dan anggota badan seperti tangan dan kaki masih lagi aktif.

Gambar Hiasan/Facebook

Mereka yang mengalami keadaan ini lazimnya tidak menyedari bahawa mereka telah tertidur dan perkara sebegini cukup membahayakan pemandu dan juga penumpang bahkan pengguna jalan raya yang lain.

Walaupun berlaku dalam masa yang sangat singkat, namun tempoh sesingkat itu cukup penting untuk meletakkan situasi pemandu dan penumpang dalam keadaan yang selamat ataupun sebaliknya. Jangan main-main ya..

Menyedari akan hakikat bahayanya microsleep, seorang pengguna @FazliRashid97 di laman Twitter miliknya ada berkongsi kisah rakannya yang maut akibat microsleep ketika dalam perjalanan.

Menurut Fazli, arwah rakannya yang bernama Aiman itu difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke Universiti Putra Malaysia dan sudah dua kali tertidur ketika dalam perjalanan.

@FazliRashid97/Twitter

Sungguhpun begitu, Aiman masih lagi meneruskan perjalanannya. Ternyata Tuhan lebih menyayanginya apabila Aiman dilaporkan maut setelah terlibat dengan nahas jalan raya di Linggi, Negeri Sembilan.

Kehilangan rakan membuatkan Fazli berasa mahu memberi kesedaran buat rakyat Malaysia untuk tidak memandang rendah situasi sebegini.

Negeri Sembilan kini/Facebook

Menurut Pengarah Pusat Komuniti dan Kemampanan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq, ia bertitik tolak daripada kesan kekurangan tidur atau berhutang tidur menyebabkan tubuh berasa penat.

Ia kemudian memungkinkan individu tertidur seketika, terutamanya jika seseorang itu dalam keadaan atau aktiviti yang tidak begitu memerlukan banyak pergerakan ataupun disebut sebagai ‘monotonous’.

Oleh itu, dapatkan tidur dan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Jika rasa mengantuk, singgah sebentar di perhentian Rehat dan Rawat (R&R) untuk berehat seketika. Ingat, jangan paksa tubuh anda.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular