Semua sedia maklum bermula 24 Jun 2020, sekolah menengah kembali dibuka buat para pelajar yang menduduki peperiksaan awam. Oleh demikian, ramai pelajar berasa teruja untuk kembali ke sekolah setelah hampir tiga bulan duduk di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bernama melaporkan seramai 500,444 pelajar dari 2,440 sekolah menengah di seluruh negara kembali untuk menyambung pembelajaran sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan peperiksaan antarabangsa yang setaraf dengannya.

@RadziJidin/Twitter

Walaupun merasai keterujaan yang sama untuk memulakan persekolahan, sebilangan pelajar Orang Asli di Kelantan mengalami masa yang lebih sukar untuk kembali ke sekolah.

Menerusi laporan Astro Awani, kira-kira 50 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam masyarakat Orang Asli di Gua Musang dibawa ke asrama sekolah mereka oleh Jabatan Pembangunan Orang Asli (JAKOA) dengan kenderaan pacuan empat roda.

YouTube/Gambar Hiasan

Untuk memulakan sesi persekolahan tepat pada waktunya, para pelajar ini harus memulakan perjalanan pada 23 Jun berikutan keadaan jalan yang amat buruk dengan disaluti lumpur dan selut untuk ke bandar.

Dilaporkan ada ibu bapa terpaksa mengambil inisiatif bergotong-royong membina jalan daripada kayu agar kenderaan pacuan empat roda dapat bergerak dengan lebih mudah menuju pergi dan balik ke kampung mereka.

@501Awani/Twitter

“Mereka bertolak pada hari Selasa (23 Jun) jam 9 pagi dan tiba pada jam 4 petang di sekolah masing-masing kerana keadaan jalan yang buruk di kawasan pembalakan akibat hujan,” jelas ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof kepada pihak media.

Pelajar yang terbabit kini selamat menginap di asrama sekolah masing-masing sebelum memulakan sesi persekolahan pada hari Rabu, 24 Jun seperti mana pelajar lain yang terlibat.

Walaupun dengan bantuan yang diberikan, terdapat sebilangan pelajar Orang Asli yang masih tidak dapat kembali memulakan persekolahan tepat pada waktunya.

YouTube/Gambar Hiasan

Ab Aziz Yusof berkata, para pelajar Orang Asli yang lain akan kembali ke sekolah pada hari Isnin, 29 Jun, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda pada hari Ahad, 28 Jun.

Sementara itu, salah seorang ibu bapa dari komuniti Orang Asli di Pos Simpor, Ago Along, berkata anak perempuannya dikenali Anis, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1, yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berasa begitu teruja kerana dapat kembali ke sekolah.

YouTube/Gambar Hiasan

“Walaupun menghadapi cabaran besar untuk bersekolah, dia masih bersemangat untuk belajar setelah terkandas selama tiga bulan di kampung kerana pelaksanaan PKP,” katanya kepada media Bernama.

“Mengharungi kesulitan untuk bersekolah bukanlah perkara baru bagi kami, masyarakat Orang Asli kerana kekurangan kemudahan berbanding komuniti lain, namun saya berharap Anis akan belajar bersungguh-sungguh dan memperolehi kejayaan cemerlang dalam pelajarannya,” kata Ago Along.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular