Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kiriman di laman Facebook rasminya sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang penggunaan kotak laluan nyahkuman (disinfection box/chamber/tunnel/booth/partition/gate) yang tidak digalakkan.

Peringatan ini sekali lagi diuar-uarkan selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pernah memberi kenyataan pada 15 April 2020, yang tidak menggalakkan penggunaan alat ini kerana hasil penilaian pihak KKM mendapati bahawa penggunaannya tidak berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19, tidak mampu membunuh kuman dalam badan manusia, bahkan penggunaan bahan kimia dalam pengoperasian alat ini berisiko memudaratkan selaput mata dan mulut.

“Penilaian telah dilakukan terhadap beberapa model peralatan dari beberapa negara jiran dan model-model sedia ada di Malaysia. Setiap model menggunakan semburan bahan kimia yang berlainan selama 20 hingga 30 saat.

“Hasil daripada penilaian ini, tiada bukti menunjukkan bahawa peralatan ini berjaya atau berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19. 20-30 saat adalah tidak memadai untuk nyahkuman yang berkesan,” memetik kiriman berkenaan.

Justeru, orang ramai terutamanya para peniaga tidak digalakkan untuk mengeluarkan kos yang tinggi semata-mata untuk membeli peralatan kotak laluan nyahkuman ini. Sebaliknya, para peniaga disarankan untuk menyediakan langkah pencegahan yang lebih berkesan seperti memperbanyakkan tempat mencuci tangan atau menyediakan lebih banyak cecair pembasmi kuman untuk kemudahan para pelanggan disamping mengawal pelanggan untuk melakukan penjarakan sosial serta mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular