Ketika kerajaan Malaysia kini sudah bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan serta larangan majlis perkahwinan diadakan dengan kehadiran saudara-mara dan rakan-rakan, perlu diingat bahawa ini tidak bermakna ancaman COVID-19 sudah tidak lagi mengekori kita. 

Sebenarnya masih terdapat banyak alasan untuk terus mengikuti SOP terbaik seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia demi melindungi kesejahteraan semua orang di sekeliling kita.

Gambar Hiasan | Pixabay

Satu contoh untuk Malaysia terus kekal berwaspada ialah apabila pasangan di negara jiran Indonesia telah mengadakan majlis perkahwinan ketika kes COVID-19 sedang memuncak di negara itu dan tanpa mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan, ia telah meninggalkan akibat buruk dan kewujudan kluster baharu. 

Dilaporkan majlis perkahwinan tersebut telah berlangsung di Semarang, Jawa Tengah yang melibatkan lebih daripada 30 orang dijangkiti COVID-19.

Peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama negara itu ialah dengan mengizinkan pasangan beragama Islam mengadakan upacara akad nikah sahaja dan ia telah berlangsung di sebuah masjid pada 10 Jun 2020.

Menurut Jakarta Post, pasangan hanya diizinkan melakukan upacara akad nikah di luar pejabat pejabat agama tempatan, di rumah, di masjid, atau dewan mesyuarat menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Untuk upacara akad nikah yang diadakan di rumah dan di luar pejabat agama, tidak lebih daripada 10 orang dibenarkan hadir.

Upacara perkahwinan yang diadakan di tempat-tempat lain yang lebih besar hanya membenarkan kehadiran tetamu tidak melebihi 20 orang, yang mana bergantung pada ukuran tempat.

Peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sudah cukup cantik, namun pasangan tersebut telah menjemput lebih ramai tetamu daripada jumlah sebenar yang diizinkan, yang mana akhirnya tidak lama kemudian menyebabkan seorang demi seorang tetamu yang hadir mula jatuh sakit.

“Majlis perkahwinan ini tidak dilakukan menurut protokol kesihatan dan SOP yang ditetapkan kerana pihak pengantin perempuan mengundang lebih daripada 30 orang tetamu,” kata Datuk Bandar Semarang, Hendrar Prihadi kepada Kompas.

Ujian saringan yang dilakukan ke atas tetamu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu menunjukkan bahawa seramai 30 orang, termasuk ahli masjid semasa akad nikah telah dijangkiti COVID-19.

Jateng Suara melaporkan ibu pengantin lelaki dan adik pengantin perempuan telah meninggal dunia kerana COVID-19.

Lonjakan kes terbaharu ini telah mewujudkan kluster baharu di Semarang. Pada 22 Jun 2020, Semarang mencatatkan 554 kes positif COVID-19 dengan 112 kematian dilaporkan.

Menjadi pengajaran kepada Malaysia walaupun dengan sekatan mungkin akan dilonggarkan, semua orang perlu terus berwaspada dan mengamalkan normal baharu demi mencegah jangkitan COVID-19. 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular