LONDON – Dos vaksin COVID-19 yang telah dikembangkan oleh para penyelidik dari Imperial College, diketuai oleh Profesor Robin Shattock difahamkan telah mula diberikan kepada sejumlah sukarelawan.

Peserta pertama dilaporkan berada dalam keadaan sihat tanpa masalah keselamatan setelah disuntik pada 19 Jun lalu. Difahamkan bahawa dos penggalak kedua akan diberikan dalam masa empat minggu.

Kira-kira 300 orang sukarelawan mengambil bahagian dalam kajian ini, yang merupakan percubaan vaksin koronavirus kedua pada manusia yang sedang dilangsungkan di United Kingdom.

BBC News/YouTube

Seramai 15 orang sukarelawan yang sihat dijangka akan menerima dos pertama mereka dalam beberapa hari mendatang sebagai sebahagian daripada fasa awal percubaan.

“Kami kini sedang menunggu sehingga kami dapat menilai keselamatan vaksin dan kemampuannya untuk menghasilkan antibodi peneutralan yang akan menunjukkan tindak balas yang berkesan terhadap Covid-19”, kata Robin.

BBC News/YouTube

Untuk menilai keselamatan dan juga dos yang optimum, para penyelidik memulakan dengan dos yang rendah dan secara beransur-ansur meningkatkannya ke dos yang lebih tinggi untuk sukarelawan berikutnya.

Vaksin RNA Imperial ini difahamkan menggunakan helaian sintetik kod genetik berdasarkan bahan genetik SARS-CoV-2, iaitu koronavirus yang menyebabkan COVID-19.

BBC News/YouTube

Ia berfungsi dengan memberikan petunjuk genetik ke sel otot untuk membuat protein lonjakan di permukaan SARS-CoV-2. Kehadiran protein ini akan memprovokasi tindak balas imun, yang menawarkan perlindungan terhadap virus.

Sekiranya vaksin selamat dan menunjukkan tindak balas imun seperti yang diharapkan, percubaan selanjutnya yang melibatkan 6,000 orang pula dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober kelak.

BBC News/YouTube

Pasukan penyelidik dari Imperial College tersebut berharap agar vaksin ini dapat diedarkan ke seluruh United Kingdom dan juga luar negara pada awal tahun 2021.

Banyak vaksin tradisional didasarkan pada bentuk virus yang lemah atau diubah tetapi vaksin Imperial didasarkan pada pendekatan baru, menggunakan helaian sintetik kod genetik – disebut RNA, yang meniru virus.

Setelah disuntik ke otot, RNA akan menguat secara sendiri, menghasilkan salinan dirinya lalu mengarahkan sel-sel tubuh menghasilkan salinan protein lonjakan yang terdapat di bahagian luar virus.

Kos menjalankan penyelidikan ini telah dibiayai sebanyak £41 juta oleh kerajaan United Kingdom manakala sebanyak £5 juta lagi diperolehi daripada sumbangan lain.

Sebelum ini, para penyelidik di University of Oxford telah mula menjalankan kajian terhadap vaksin kepada sukarelawan pada bulan April lalu, di mana dianggarkan peserta yang mendaftar adalah melebihi 1,000 orang.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular