Nama Akim Camara mungkin tidak pernah didengari oleh kebanyakan individu namun selepas menonton video persembahan orkestra sewaktu pemuzik ini masih kecil, pasti ramai yang akan mula menjadi pengikut Akim Camara di media sosial. Camara dilahirkan di Berlin pada 26 September 2000 dan ketika baru berusia dua tahun, Camara sudah mula menunjukkan minatnya dalam bidang muzik terutamanya alat muzik biola.

Pada tahun 2003, kedua-dua ibu bapa Camara mengambil keputusan untuk menghantar Camara menghadiri kelas biola di Sekolah Muzik Marzahn-Hellersdorf. Pada usia semuda ini, Camara yang masih lagi memakai lampin dan belum petah bercakap bagaimanapun menunjukkan prestasi menakjubkan apabila dia mampu mengingati bunyi muzik dan menamakan semua jenis instrumen orkestra.

Kebolehan semula jadi Camara ini membuatkan guru muziknya mula mengadakan kelas khusus untuk Camara. Setiap minggu, Camara akan mengikuti dua sesi pembelajaran selama 45 minit bagi setiap sesi. Dalam tempoh enam bulan, guru muziknya mula yakin akan potensi anak kecil itu yang cepat belajar.

Jadi pada Disember 2003, Camara yang baru berusia tiga tahun telah mengadakan persembahan konsert Hari Natal pertamanya di hadapan ramai penonton! Lebih mengagumkan lagi, Camara langsung tidak menunjukkan tanda gugup ketika membuat persembahan. Pada Julai 2004, Camara dijemput untuk membuat persembahan bersama seorang pemain biola dan konduktor terkenal di Belanda iaitu André Rieu. Kedua-duanya membuat persembahan di Parkstad Limburg Stadion yang dihadiri oleh 18,000 penonton!

Kejayaan yang dikecapi oleh Camara bagaimanapun membuatkan dia akhirnya terpaksa ‘disembunyikan’ daripada tatapan umum. Pada ketika itu, Rieu menaja setiap pembelajaran biola dan kelas piano untuk Camara dan menjaga Camara supaya anak kecil ini tidak begitu terbeban.

Kini, Camara sudah mula meningkat dewasa dan semakin giat membuat persembahan di hadapan khalayak ramai di seluruh Jerman. Malah, Camara juga mempunyai saluran YouTube sendiri dan anda boleh saksikan betapa mahirnya pemuzik muda ini memainkan alat muzik biola.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular