Setiap daripada kita pasti mempunyai impian untuk berbakti kepada ibu bapa kita, bukan? Jika mampu dan berkesempatan, setiap permintaan dan kemahuan mereka pasti kita akan cuba untuk memenuhinya.

Itulah kisah yang kami akan kongsikan ini, di mana seorang bapa kepada tujuh orang anak beremosi sehingga mengalirkan air mata setelah anak-anaknya membuat kejutan yang cukup bermakna buatnya.

Kisah itu sebenarnya dikongsikan di laman Twitter oleh seorang pengguna, @haziqsapu berserta dengan rakaman video. Menerusi video itu, kita dapat saksikan bapanya berjalan perlahan ke luar rumah untuk melihat hadiahnya.

@haziqsapu/Twitter

Tidak dapat menahan sebak, bapa berusia 58 tahun itu kemudian dilihat menangis setelah menyedari hakikat bahawa sebuah kereta Proton Persona yang baru itu dibelikan oleh anaknya adalah khas untuk dirinya.

“Ayah janganlah nangis”, pujuk salah seorang daripada anaknya. Tidak lama kemudian, kelihatan anak lelakinya pula memberikan pelukan buat bapa kesayangan mereka itu.

@haziqsapu/Twitter

Niat mereka sebenarnya mahu membuat kejutan yang bermakna buat bapa mereka namun sebaliknya mereka tidak menyangka bahawa bapa mereka yang lazimnya periang itu memberikan respon sebegitu.

“Kali terakhir aku tengok ayah aku nangis time dapat result SPM. Tapi kali ini lain macam terharu rasa. Character ayah aku ni suka melawak, tiba-tiba bila nangis ni kami semua tak expect”, tulis Haziq di Twitternya.

Haziq dan adik-beradiknya difahamkan sudah lama memasang niat untuk membelikan kereta baru untuk bapa mereka yang bekerja sebagai penjual ais krim, memandangkan kereta bapanya sudah lama rosak.

@haziqsapu/Twitter

Namun rancangan tersebut mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana adik-beradiknya itu terpaksa menjelaskan ansurans bayaran dan pinjaman bank mereka terlebih dahulu.

Jelas Haziq, kereta berkenaan tidak dibayar secara tunai sebaliknya mereka adik-beradik berpakat untuk membayar ansuran secara bulanan. Yang mana mampu bayar lebih, akan bayar lebih. Begitulah juga untuk mereka yang kurang mampu, maka bayar kurang.

@haziqsapu/Twitter

Tambah Haziq, ibunya juga turut terlibat dalam rancangan kejutan buat bapanya itu memandangkan kereta itu juga dianggap sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-33.

Baik sungguh adik-beradik Haziq, bukan? Semoga rezeki kita semua sentiasa berganda bagi membolehkan kita untuk membalas jasa kedua ibu bapa kita hendaknya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular