Setelah beberapa bulan kita tidak dapat menonton wayang di pawagam, akhirnya kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula aktiviti pawagam, teater dan acara secara langsung bermula 1 Julai.

Khabar itu diumumkan sendiri oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sesi sidang media yang berlangsung dari Putrajaya.

“Kami telah memutuskan untuk membenarkan pawagam dan acara langsung beroperasi semula mulai 1 Julai tetapi hanya di persekitaran dan dewan tertutup”, katanya.

“SOP mestilah ketat dari segi kawalan kemasukan dengan kapasiti masih kekal 250”, katanya yang turut berkata bahawa pemeriksaan suhu sebelum memasuki pawagam masih dijalankan seperti biasa.

Kehadiran pengunjung menurutnya tidak boleh melebihi 250 orang dan tertakluk kepada saiz dewan serta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Beliau turut menekankan terhadap peraturan penjagaan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Menyambut baik keputusan itu, pihak Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas masing-masing menunggu SOP rasmi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, keputusan kerajaan itu memberi kelegaan kepada syarikat. “Kami masih menanti SOP rasmi supaya dapat membuat persediaan sebelum pawagam dibuka”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai berkata, pihaknya akur dengan jumlah 250 penonton ditetapkan kerajaan biarpun kapasiti premis antara 100 hingga 300 orang.

“Kami perlu patuh peraturan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung. Biarpun terpaksa menanggung sedikit kerugian tetapi keselamatan penonton tidak boleh diabaikan”, katanya.

Walaupun ianya telah dibenarkan, orang ramai dinasihati untuk terus menjaga aspek kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman selain turut memakai pelitup muka.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular