Sepanjang waktu PKP sehinggalah PKPB pastinya waktu yang sukar buat sesetengah orang. Untuk mereka yang bergantung pada kerja sehari-hari untuk meneruskan kelangsungan hidup semestinya lebih perit apabila kehilangan punca pendapatan.

Pada hari Khamis, 18 Jun lalu, seorang lelaki dari Sarawak yang bekerja di Selayang, Selangor, akhirnya pulang ke rumah setelah kehilangan punca pendapatan di tengah-tengah waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung selama 83 hari.

Perjalanan pulang pemuda itu ke kampung halamannya walau bagaiamanapun tidak mudah. Namun, perjalanannya akhirnya dipermudahkan apabila dia dibantu oleh mereka yang sangat baik dari Puchong yang memastikan dia mendapatkan penerbangan pulang ke kampung.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Kuan Chee Heng/Facebook

Menurut akaun Facebook, Kuan Chee Heng, yang terkenal sebagai ‘Uncle Kentang’ kerana sifat dermawannya. Dia menceritakan bahawa kakak kepada lelaki itu, Laura telah menghantar mesej kepadanya untuk mengucapkan terima kasih kepadanya atas bantuan yang dihulurkan.

Dalam pesanan WhatsApp tersebut Laura memberitahu bahawa adiknya telah selamat sampai di Sarawak. Dia juga sangat berterima kasih dan mendoakan supaya Kuan sentiasa dilindungi dan segala urusannya dipermudahkan kelak.

Dalam pesanannya kepada Kuan, Laura memberitahunya tentang abangnya yang nekad untuk berjalan jauh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Selayang dengan jarak sejauh hampir 80 km kerana tiada wang untuk mendapatkan pengangkutan ke KLIA.

Pemuda itu dikatakan telah hilang punca pendapatan setelah kilang tempatnya bekerja terpaksa ditutup ekoran PKP yang dilaksanakan selama tiga bulan.

Oleh kerana tidak mampu dia terpaksa berjalan kaki dari Selayang ke KLIA supaya dia boleh dapat terbang pulang dengan pesawat pada jam 5 petang itu. Jika diikutkan dia perlu mengambil sekurang-kurangnya 16 jam untuk sampai ke sana lapangan terbang dan kemungkinan besar dia tidak sempat menaiki pesawat.

Google Maps

Untuk membeli tiket pulang ke kampung, keluarganya yang telah membelikan tiket untuknya tetapi mereka tidak dapat mengirimkan wang untuk pengangkutan buatnya untuk ke lapangan terbang.

Nasib pemuda ini walau bagaimanapun baik apabila dia akhirnya dibantu ketika dalam perjalanannya. Selepas dua jam berjalan, Kuan telah menerima info mengenai pemuda ini dan terus menghantar pasukannya untuk membantu. Waktu ketika itu sudah jam 2 petang dan hanya tinggal tiga jam sebelum pesawat berlepas ke Sarawak.

Kuan Chee Heng/Facebook

Pasukan Kuan juga telah memberikan RM200 kepada pemuda ini untuk dibelanjakan membeli barang keperluan seperti makanan dan tambang di Sarawak nanti.

Dalam catatan tersebut, Kuan memberitahu bahawa dia kini berasa lega apabila mengetahui bahawa lelaki itu tiba di KLIA tepat pada waktunya.

Kuan Chee Heng/Facebook

Mungkin ramai yang kenal dengan ‘Uncle Kentang’ ini tetapi untuk yang tidak kenal dengannya, Uncle Kuan adalah seorang ahli perniagaan yang sangat dermawan dan telah membantu golongan yang memerlukan selama bertahun-tahun. Dia juga telah menubuhkan dapur umum di Puchong.

Selain itu, lelaki baik hati ini menyediakan ambulans dan kenderaan jenazah secara percuma kepada mereka yang kurang mampu.

Tidak hanya itu, dia juga pernah memperkenalkan Pasar 10 sen di mana golongan kurang berkemampuan boleh membeli barang keperluan yang disumbangkan seperti mesin basuh atau pakaian dengan hanya RM 0.10 sen.

Untuk mereka yang mahu turut serta bersama Kuan, boleh menghulurkan bantuan sumbangan dan semua info yang berkaitan boleh didapati di Facebook miliknya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular