Kadangkala kita merungut akan perkara yang bukan-bukan sungguhpun nikmat yang Allah berikan sebenarnya sudah lebih mencukupi berbanding orang lain. 

Rasa tidak bersyukur tetap berada di dalam diri apabila kita tidak dapat melihat kesusahan orang lain, yang walaupun kurniaan rezekinya hanya sekelumit berbanding rezeki besar yang kita telah perolehi, namun dia tetap bersyukur.

Seorang pengguna Facebook bernama Olive Ivan menulis rasa hati dengan keinsafannya mensyukuri nikmat dan rezeki kurniaan Tuhan setelah terserempak dengan seorang pak cik tua penjual aiskrim.

Ketika ditanya hasil jualannya, pak cik ini menuturkan kata-kata yang amat mendalam maknanya untuk difikirkan bagi mereka yang gagal untuk mensyukuri pemberian nikmat Allah.

Catatan Olive Ivan dalam ruangan Facebooknya:

Sedang saya memandu dalam panas terik matahari, terlihat susuk tubuh seorang pak cik tua yang berkulit gelap memikul dua bekas di tangannya.

Jika di kawasan Kampung Likas, semua orang pasti sudah kenal pak cik ini, 6 tahun lalu saya pernah membeli aiskrim roti pak cik ini.

Saya mengambil gambar dengan izin pak cik ini sendiri.

“Pak, satu hari berapa sahaja pendapatan?” saya bertanya.

“Kadang-kadang RM30, kadang-kadang tiada langsung. Jika musim hujan, tiada langsung pendapatan, nak. Kadang-kadang tiada orang mahu membeli daripada aku nak, biarpun aiskrimku cuma berharga RM1,” jelasnya sayu.

“Tapi itu sudah rezeki Allah jadi kita harus bersyukur biarpun tiada hasil.”

Air mula bergenang di kelopak mata, ya Allah sesungguhnya saya tidak sehebat pak cik sentiasa bersyukur biarpun tidak berhasil membawa pulang apa-apa.

“Bagi saya 10 biji aiskrim roti ya pak,” saya hulurkan RM15 kepada pak cik ini, langsung dikucup duit itu sambil bersyukur dan mendoakan saya.

Ya Allah, langsung saja air mata saya jatuh, betapa besarnya nilai wang RM15 bagi pak cik ini.

Maafkan saya pak cik, saya tidak mampu memberi lebih, tidak mampu memajak semua ais krim, agar pak cik tidak penat berjalan lagi, terima kasih kerana mendoakan saya, doa pak cik sudah cukup bagi saya.

Siapa pun pak cik ini, andai ada yang kenal, belilah jualannya biar pun bagi anda, ia tidak bersih atau tidak sesuai dengan tekak kita.

Terima kasih Allah, Engkau punya cara menyedarkan kami untuk selalu bersyukur di atas segala nikmatMu.

“Maafkan aku pak, aku kalah denganmu dalam mensyukuri nikmat yang Allah berikan…” tulis Olive Ivan dalam laman Facebooknya yang tular dengan hampir 5,000 perkongsian netizen.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular